KUALA LUMPUR – Sebuah kilang membuat komponen elektronik di Nilai, Negeri Sembilan di arah tutup serta-merta berikutan seramai 53 pekerjanya dikesan positif Covid-19.

Menurut sumber, arahan itu dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas membuat ujian saringan ke atas pekerja-pekerja kilang terbabit semalam.

Katanya, saringan tersebut dibuat ekoran sebelum ini terdapat puluhan pekerja kilang itu dikesan positif Covid-19 namun, arahan penutupan kilang tidak dilakukan oleh majikan hingga memaksa KKM datang bertindak.

“Apa yang menghairankan syarikat hanya mengarahkan agar pekerja di bahagian tertentu yang dijangkiti Covid-19 tidak perlu hadir bekerja dan bukan keseluruhan kilang.

“Saya mendapat maklumat ini daripada beberapa pekerja di kilang itu yang mengadu takut untuk pergi kerja selepas beberapa rakan sekerja mereka disahkan dijangkiti Covid-19.

“Mereka kata walaupun, perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak sumber manusia kilang terbabit tetapi, arahan untuk menutup kilang tidak juga dikeluarkan sehinggalah pihak KKM datang membuat ujian saringan semalam.

“Baru hari ini mereka semua diminta datang ke sebuah klinik untuk menjalani ujian saringan selepas pihak KKM mengatakan mereka semua merupakan kontak rapat kepada kes-kes yang dikesan,” katanya ketika menghubungi MalaysiaGazette hari ini.

Sumber itu menambah, dia kesal dengan sikap majikan syarikat terbabit yang tidak mementingkan kepentingan umum apabila masih mengarahkan pekerja mereka untuk hadir bekerja sedangkan mereka sendiri sepatutnya tahu tanggungjawab yang perlu diambil.

Katanya lagi, semua pekerja syarikat terbabit yang didapati positif telahpun dihantar ke Pusat Kuarantin di Port Dickson termasuk 53 orang yang dikesan semalam dan kilang terbabit ditutup selama 14 hari. – MalaysiaGazette