KUALA LUMPUR: Mutasi pada virus COVID-19 ketika ini yang dikatakan menjadi punca ia semakin mudah merebak dalam kalangan masyarakat adalah sebahagian daripada proses evolusi virus.

Meskipun perkembangan itu mengundang kegusaran umum, pakar epidemiologi dan virologi berpendapat mutasi pada virus yang mula dikesan pada akhir tahun lalu di Wuhan tidak semestinya semakin ‘kuat’ sehingga meningkatkan risiko kematian.

Pakar virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, menjelaskan virus mengalami mutasi demi memenuhi matlamat utamanya, iaitu untuk kekal hidup di dalam badan perumah dan menjangkiti seberapa ramai individu lain.

“Kalau perumah mati, virus juga akan mati, jadi untuk mengelak daripada nasib sebegini berlaku, ia akan menjalani mutasi, iaitu siri perubahan terhadap beberapa perkara.

“Berdasarkan perangkaan semasa, berkemungkinan mutasi pada COVID-19 yang dikenali sebagai D614G ini agresif dalam membiak dan menular dalam kalangan masyarakat, tetapi tidak semestinya ia membawa maut.

“Kita ambil contoh herpes (penyakit kelamin) yang mudah merebak, tetapi tidak menunjukkan sebarang gejala, begitu juga dengan demam cacar air apabila ia senang menjangkiti individu lain.

“Virus seperti ini mengalami pelbagai mutasi demi memastikan ia dapat terus hidup, tanpa membunuh perumah,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini dilaporkan berkata mutasi jenis D614G dikesan daripada ujian pengasingan dan kultur virus COVID-19, menerusi persampelan kluster pesakit dalam siasatan (PUI) Sivagangga dan kluster Ulu Tiram.

Menyentuh mengenai impak terhadap penghasilan vaksin, Sazaly menjangkakan ia tidak lagi menjadi keperluan ketika ini, memandangkan mutasi terbaharu pada COVID-19 menyebabkan lebih ramai dijangkiti, tetapi tidak membunuh.

Menerusi rawatan dan ubat tertentu katanya, individu yang dijangkiti berupaya menghasilkan antibodi tersendiri untuk melawan mutasi D614G, sekali gus menyaksikan pandemik COVID-19 berupaya ditangani menerusi imuniti kelompok.

“Jika kita ingin teliti perkembangan kluster Sivagangga di Kedah, negeri ini dulunya adalah kawasan hijau, justeru memang dijangkakan apabila penularan baharu lazimnya mengundang peningkatan kes yang mendadak.

“Dalam teori epidemiologi, masyarakat yang berada di dalam kawasan atau zon hijau akan ‘complacent’ (selesa), maka aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tidak diambil berat sangat.

“Maka, lebih mudah penularan jangkitan berlaku memandangkan COVID-19 merebak menerusi titisan air, khususnya apabila dalam persekitaran sempit dan tertutup,” katanya.

Pakar epidemiologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, yang menyuarakan pendirian sama berkata, kajian di United Kingdom menunjukkan mutasi D614G mudah merebak, namun tidak menyebabkan komplikasi kesihatan serius seperti ia mula muncul di sebuah pasar makanan laut di China.

Bagaimanapun katanya, langkah pencegahan, khususnya membabitkan golongan berisiko seperti individu yang disahkan menghidap penyakit kronik dan warga emas wajar ditingkatkan.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Secara Pentadbiran adalah jalan terbaik, namun ia berupaya mengundang kesan kepada sesi persekolahan, urusan perniagaan dan ekonomi domestik sesuatu tempat.

“Oleh itu, mungkin kerajaan ingin beri pengkhususan kepada langkah kawalan ini supaya ia lebih menitikberatkan langkah pencegahan membabitkan golongan berisiko.

“Asingkan dulu golongan berisiko sekiranya mendapati lokaliti sesuatu tempat mencatatkan peningkatan kes COVID-19, sekali gus berupaya melindungi mereka yang didapati mudah dijangkiti virus berkenaan,” katanya.

https://beta.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/721849/mutasi-d614g-cepat-merebak-tetapi-lemah