Foto - The Edge Market

KUALA LUMPUR – Pendedahan kandungan sembilan rakaman audio panggilan telefon oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diterajui Latheefa Koya kepada orang awam semalam merupakan kemungkiran kepada prinsip kedaulatan undang-undang.

Sambil menyatakan rasa kesal, dukacita dan sedih terhadap apa yang dilakukan SPRM itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla menegaskan bahawa tindakan seumpama itu sewajibnya tidak boleh dilakukan oleh mana-mana agensi penguatkuasa undang-undang seperti SPRM sama sekali.

Katanya, harapan rakyat di bawah Malaysia Baharu adalah untuk melihat negara kita ditadbir berpandukan ketelusan dan kedaulatan undang-undang namun malangnya sidang akhbar oleh SPRM semalam membuktikan amalan sebaliknya.

“Hatta, rakyat meletakkan sepenuh harapan ke bahu pihak berkuasa, terutamanya pihak penguatkuasa undang-undang seperti SPRM, untuk menunjukkan amalan betul prinsip kedaulatan undang-undang ini agar segenap lapisan masyarakat lain seperti para pemimpin politik, pihak korporat, pengamal profesional dan rakyat biasa dapat mengambil contoh amalan betul prinsip itu.

“Namun, malangnya pada hari Rabu, 08.01.2020, melalui satu sidang akhbar yang disiarkan melalui video berdurasi 1 jam 13 minit dan 16 saat, dengan penuh dukacita saya nyatakan di sini, bahawa pihak SPRM di bawah teraju Ketua Pesuruhjaya Latheefa Koya telah mendedahkan kepada awam secara salah akan butiran perkara dan bahan siasatan baru (segar) secara menyalahi prinsip kedaulatan undang-undang (rule of law,” katanya.

Haniff yang juga dikenali sebagai peguam Tun Dr Mahathir Mohamad berkongsi pandangannya itu dalam hantaran di laman Facebook

Mengulas lanjut, Haniff berkata, Latheefa sepatutnya mengarahkan pegawai SPRM yang menerima rakaman audio itu serta-merta membuat laporan polis dan menyerahkan kesemua bahan tersebut untuk siasatan lanjut pihak polis sahaja.

Ini kerana menurut beliau, pada dasarnya kandungan rakaman audio itu mendedahkan kemungkinan kewujudan bentuk jenayah lain, yang adalah di bawah kategori kesalahan Kanun Keseksaan dan bukannya Akta SPRM.

Katanya, bahan bukti yang masih perlu disiasat lanjut oleh pihak polis tidak boleh didedahkan untuk santapan awam sama sekali, apatah lagi diperdengarkan kepada orang awam kandungan perbualan berkaitan.

“Kerana ianya boleh menjejaskan siasatan dan juga memberikan gambaran dan impak negatif kepada fahaman masyarakat biasa, sedangkan siasatan belum pun bermula apatah lagi, sememangnya belum lagi selesai,” katanya.

Di awal catatannya, Haniff menekankan tentang prinsip kedaulatan undang-undang yang dirumuskan bukanlah mantra yang bercorak retorika semata-mata.

Katanya, rakyat akan mengucapkan selamat tinggal kepada impian dan hasrat untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang benar-benar bertaraf maju jika pentadbirnya tidak berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang.

Beliau bagaimanapun tidak mahu mengulas lanjut pelbagai persoalan yang akan muncuk akibat kemungkiran prinsip kedaulatan undang-undang ekoran pendedahan Latheefa Koya semalam yang turut disiarkan secara langsung oleh kebanyakan media tempatan dan antarabangsa kerana khuatir memberi kesan kepada perjalanan kes Datuk Seri Najib Razak.

Antara persoalan yang muncul, katanya, adalah:

(a) Adakah tindakan Ketua Pesuruhjaya Latheefa Koya dan SPRM itu mendahului mahkamah yang sedang dan akan bicarakan pelbagai pertuduhan jenayah terhadap Najib Razak mahupun pihak-pihak lain?

(b) Adakah pendedahan berkenaan menjadi satu tindakan yang boleh dianggap sebagai “penghinaan” terhadap mahkamah?

(c) Adakah dari segi undang-undang, kandungan 9 “rakaman audio panggilan telefon” yang didedahkan itu memihak kepada pihak pendakwa raya ataupun ataupun memihak kepada pihak Najib Razak (ataupun pihak-pihak lain terbabit)?

Katanya, ulasannya jika ada terhadap persoalan-persoalan tersebut selain mungkin mencemari perjalanan sistem keadilan dalam siri pertuduhan terhadap Najib juga dikhuatiri akan melahirkan cadangan tindakan lanjut yang boleh diambil oleh mana-mana pihak berkepentingan dalam siri pertuduhan jenayah berkenaan.

“Yang mana adalah tanggungjawab mereka sendiri untuk fikirkan dan lakukan,” katanya menutup catatannya dengan kata-kata ‘jenayah atau kesalahan tidak boleh diadili atau dihukum dengan membelakangkan prinsip kedaulatan undang-undang. – MalaysiaGazette