POLITIKPemimpin DAP ramal ‘perang saudara’ dalam Umno, jangka puak pro dan anti-Muhyiddin...

Pemimpin DAP ramal ‘perang saudara’ dalam Umno, jangka puak pro dan anti-Muhyiddin akan rebut kuasa

PETALING JAYA: Pemimpin DAP, Liew Chin Tong, meramalkian Umno menuju “perang saudara” yang akan menyaksikan parti itu berpecah-belah susulan keputusan untuk tidak bekerjasama dengan PPBM pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Liew percaya Umno bakal menyaksikan dua puak berebut kuasa dalam parti, melibatkan penyokong Muhyiddin Yassin cuba menyingkir pihak lawan.

Liew dalam blognya menulis Umno akan menjadi “pengikut setia” presiden PPBM sekiranya pemimpin pro-Muhyiddin seperti Hishammuddin Hussein dan Annuar Musa berjaya menumpaskan lawan.

Bagaimanapun, kemenangan itu mungkin akan menyaksikan penghijrahan puak lawan.

“Namun situasi yang paling mungkin berlaku adalah penentang Muhyiddin akan berjaya,” katanya, menggolongkan bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Ahmad Zahid Hamidi dalam kumpulan itu.

Selepas itu, cabaran bagi kumpulan anti-PPBM adalah menentukan siapa yang akan mengepalai Umno pada pilihan raya umum ke-15, yang mana parti Melayu itu akan berkempen sebagai parti pembangkang “tanpa bantuan jentera kerajaan dan kekurangan wang berbanding ketika itu berkuasa”.

Bekas timbalan menteri pertahanan itu kemudian meramalkan PAS, sekutu Umno dan PPBM dalam Muafakat Nasional, akan terpaksa memilih antara dua parti itu.

Beliau percaya selagi Presiden Abdul Hadi Awang masih menerajui parti itu, sebahagian besar pemimpin PAS akan bersama Muhyiddin.

“Akan ada beberapa pihak dalam PAS yang akan mendesak kerjasama dengan Umno namun mungkin sia-sia.”

Liew berpandangan sekiranya kemarahan pengundi Melayu dihalakan terhadap Muhyiddin, PAS nampaknya berpaut pada “kapal karam”.

“Ramai ahli dan penyokong PAS akan kebingungan, dan akan ada yang melompat,” katanya.

Liew berkata keputusan Umno membawa petanda tidak baik bagi kerajaan Perikatan Nasional, yang kini mendapati ia dalam bahaya, sama seperti yang dihadapi pentadbiran Najib Razak pada suku akhir 2017.

Namun apa sahaja yang ia lakukan tidak akan membantu, katanya, kerana pengundi sudah membuat keputusan untuk menyingkir kerajaan PN.

Persoalan sekarang adalah, bagaimana pengundi akan melakukannya.

“Apa yang akan dilakukan oleh PPBM? Parti pemerintah ada kuasa dan wang. Ia tiada sokongan pengundi,” katanya.

Liew berkata PPBM masih ada beberapa pilihan untuk kekal berkuasa, termasuk menarik wakil rakyat parti lain atau memanjangkan darurat.

Susulan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno bulan lepas, parti Melayu itu membuat keputusan tiada kerjasama dengan PPBM pada PRU-15 dan kebersamaan dalam kerajaan hanya sehingga Parlimen dibubarkan.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/05/pemimpin-dap-ramal-perang-saudara-dalam-umno-jangka-puak-pro-dan-anti-muhyiddin-akan-rebut-kuasa/

......