NASIONALPelabur lihat GST rangsangan kepada ekonomi, kata penganalisis

Pelabur lihat GST rangsangan kepada ekonomi, kata penganalisis

Ahli ekonomi berkata, pengenalan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan memberi keyakinan kepada pelabur bahawa ekonomi Malaysia dapat pulih lebih cepat selepas Covid-19.

Ketua ekonomi Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC), Firdaos Rosli berkata, keyakinan pelabur didorong kadar pertumbuhan dan hasil tinggi, yang lebih mungkin berlaku dengan GST sebagai cukai asas luas akan menjana hasil lebih tinggi berbanding cukai lain.

“Dengan hasil lebih banyak, Malaysia sama ada boleh mengambil lebih banyak hutang untuk pertumbuhan lebih pantas atau membayar obligasi hutang sedia ada, meningkatkan penarafan kreditnya,” katanya kepada FMT.

Firdaos berkata, potensi pertumbuhan Malaysia adalah satu daripada sebab negara tidak diturunkan taraf oleh agensi penarafan kredit seperti Moody’s dan S&P.

Bagaimanapun, tekanan terhadap penarafan kredit Malaysia akan meningkat dari semasa ke semasa. Penggunaan GST boleh mengurangkan tekanan dengan meningkatkan nisbah hasil kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia.

Ahli ekonomi itu mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil bahawa GST boleh memberi keyakinan kepada pelabur asing kerana ia akan memberi jaminan Malaysia tidak akan memperkenalkan cukai lain untuk meningkatkan pendapatannya.

Firdaos berkata, negara perlu berbincang mengenai “GST 2.0” dan bagaimana ia akan dilaksanakan.

“Dari segi ekonomi, GST adalah jelas, tetapi bukannya politik kerana anda perlu mendapatkan persetujuan pihak berkepentingan terlebih dahulu,” katanya.

Kerajaan perlu bersedia untuk berbelanja lebih daripada apa yang akan dikutip daripada GST bagi memastikan sokongan terhadap cukai itu.

Carmelo Ferlito dari Pusat Pendidikan Pasaran berkata, pelabur dalam sektor bukan pembuatan akan memilih GST kerana mereka tidak boleh menuntut kos input di bawah cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Beliau berkata, ini bermakna syarikat bukan pembuatan seperti perniagaan perdagangan perlu membayar SST atas pembeliannya, tetapi tidak boleh menuntut cukai input seperti yang dapat dilakukan dengan GST.

Jadi, katanya, syarikat perdagangan tidak mempunyai pilihan selain menyerap cukai atau mengalihkannya kepada pelanggan dalam bentuk harga lebih tinggi, sesuatu yang tidak sesuai.

Naib Pengerusi Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Raymond Woo berkata, GST tidak seharusnya dilihat sebagai “pil ajaib” buat kerajaan.

Katanya, pelabur asing mahu melihat “perniagaan boleh beroperasi seperti biasa tanpa mengira sebarang perubahan dalam kerajaan”.

“Pelabur asing ingin melihat kesinambungan bagaimana perkara itu dilakukan, mereka mahukan kepastian,” katanya.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/07/24/pelabur-lihat-gst-rangsangan-kepada-ekonomi-kata-penganalisis/

......