POLITIKPEDAS! Najib: Kalau nak gugur kes baik bodek PM, bukan lawan

PEDAS! Najib: Kalau nak gugur kes baik bodek PM, bukan lawan

Ahli parlimen Umno yang sering digelar “kluster mahkamah” secara sinis berkata mereka perlu membodek perdana menteri jika mahukan kes digugurkan, bukannya melawan dengan menarik sokongan.

Bekas perdana menteri Najib Razak yang berdepan pertuduhan penyelewengan dana 1MDB, berkata dakwaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa individu yang menarik sokongan mahukannya mencampuri urusan mahkamah satu pembohongan.

“Akhirnya dia salahkan dan menipu bahawa mereka yang tarik sokongan terhadap dia adalah mereka yang mahu kes digugurkan.

“Sedangkan cara terbaik untuk gugurkan (kes mahkamah) ialah dengan membodek dan bukan melawan dia (perdana menteri),” tulis Najib dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin mendakwa terdapat pihak tertentu mendesaknya supaya mencampuri urusan mahkamah.

Desakan itu, tambahnya tanpa menyebut nama, bagi membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

 

Beberapa pemimpin Umno yang tegas mahu menarik balik sokongan kepada Muhyuddin sering dirujuk sebagai “kluster mahkamah” kerana berdepan pertuduhan di mahkamah.

Malam tadi, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan yang parti itu menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Ia susulan teguran Istana Negara terhadap Putrajaya berhubung pembatalan ordinan darurat yang mengelirukan dewan.

Ekoran itu, 12 ahli parlimen Umno mengumumkan mereka menarik sokongan terhadap perdana menteri.

Dalam pada itu, Najib mempersoalkan tindakan Muhyiddin yang mahu berdepan undi percaya di Dewan Rakyat pada September depan.

“Dia kata Yang di-Petuan Agong titah hanya lapan orang ahli parlimen Umno yang tarik sokongan terhadap dia. Ingat, dia kata lapan sahaja.

“Dia kata dia percaya bahawa dia masih ada sokongan majoriti. Tapi dia berjanji pada Agong akan usulkan undi percaya terhadap dia pada sesi parlimen bulan September.

“Kenapa pula bukan sekarang memandangkan kita baru masuk bulan Ogos?” soal Najib.

https://www.malaysiakini.com/news/585833

......