KUALA LUMPUR: Trend generasi muda ketika ini yang gemar menggunakan aplikasi media sosial seperti TikTok, Instagram, dan YouTube untuk berinteraksi dan berkongsi rutin harian memberi ilham kepada guru menggunakan pendekatan itu untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Ia juga untuk mengelakkan pelajar merasa mudah jemu dan angkat kaki apabila mengikuti sesi PdPR menerusi aplikasi seperti Telegram, Google Meet dan Zoom Meeting yang memerlukan pelajar hanya duduk, mendengar dan sekali sekala menyampuk apabila tidak memahami sesuatu yang diajar.

Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen, Kangar, Perlis, Norlida Muhd Pisol, 37, memilih menggunakan TikTok sebagai salah satu daripada medium untuk mengajar mata pelajaran sejarah bermula minggu lepas.

“Ramai dalam kalangan pelajar saya gemar menggunakan aplikasi TikTok dan dari situ saya mendapat idea untuk menggunakan aplikasi ini sebagai antara medium untuk mengajar, pendek kata, kita perlu didik golongan remaja dengan cara yang mereka suka,” katanya kepada Bernama.