POLITIKPas WP lebih minat ‘kolam besar’ demi perpaduan ummah – Azhar

Pas WP lebih minat ‘kolam besar’ demi perpaduan ummah – Azhar

Pas Wilayah Persekutuan (WP) lebih berminat untuk mewujudkan ‘kolam besar’ berbanding bermain banyak ‘kolam’ yang dilihat merugikan parti itu.

Ketua Pesuruhjayanya, Azhar Yahya berkata, lagi besar ‘kolam’ itu lagi kuat penyatuan ummah boleh diwujudkan sama ada kawan mahu pun lawan.

“Pas konsisten (hubungan dengan UMNO), kita nak menyatukan walaupun ada yang kata kita main dua tiga kolam. Sebenarnya bukan nak main dua tiga kolam, kita nak buat kolam besar dengan membuang semua penghalang.

“Antara kolam-kolam itu, menjadi kolam besar, lagi besar lagi kuat lagi banyak kita boleh berhimpun.

“Di situlah kita nak bawa kesatuan ummah itu yang dipaparkan Rasulullah SAW yang ada di dalamnya bukan Islam, hidup bersama dengan aman dan damai,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Sambutan Hari Aidilfitri anjuran Pas Kawasan Wangsa Maju di Taman Melati.

Dalam pada itu, Azhar berkata, Pas juga konsisten untuk menjaga hubungan baik bukan sahaja UMNO bahkan mana-mana pihak.

“Dunia politik ini dunia penuh dengan pragmatis, sentiasa berubah, tiada musuh yang selamanya, ada kawan selamanya. Pas konsisten dengan penyatuan ummah merentas Pas dengan UMNO,” katanya.

Sementara itu, Azhar melihat program sambutan hari raya merupakan platform terbaik kepada pihaknya menghimpunkan semua pihak tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik.

“Kita sangat perlukan program seperti ini selepas fasa peralihan endemik dan kita sudah boleh melakukan program secara fizikal. Ini satu peluang terbaik untuk Pas mengemukakan satu contoh sambutan hari raya yang dapat kita gabungkan semua pihak.

“Pada hari ini semua pihak datang, UMNO ada, Bersatu ada, masyarakat sekeliling ada, kampung-kampung ada.

“Kita juga dapat berikan satu paparan tentang hubungan yang terbaik antara masyarakat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Pas WP lebih minat ‘kolam besar’ demi perpaduan ummah – Azhar

......