POLITIKPANAS!! Zahid nasihat kelompok kecil pemimpin UMNO jangan jadi duri dalam daging

PANAS!! Zahid nasihat kelompok kecil pemimpin UMNO jangan jadi duri dalam daging

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan segelintir pemimpin UMNO agar tidak menjadi duri dalam daging ketika parti sedang meniti sebuah kebangkitan mutlak.

Sebaliknya, kata Presiden UMNO itu, mereka sepatutnya memperkukuh, memperkasa dan memperhebatkan parti dengan kekuatan sendiri.

“Saya perlu memberi penekanan begini supaya fakta meresap dalam fikiran dan sanubari mereka yang berkenaan, sekali gus berhenti daripada mencetuskan polemik yang tidak memanfaatkan UMNO dan ahlinya.

“UMNO sebagai sebuah parti harus rasional untuk menjaga kepentingan akar umbi berbanding menjaga kepentingan kelompok kecil yang kepompong pemikirannya mungkin terlalu jumud untuk agenda tersendiri.

“Nasihat saya, jika tidak berupaya jadi garam, jangan pula menjadi langau. Janganlah kita menjadi duri dalam daging,” katanya menerusi hantaran Facebooknya petang ini.

Ahmad Zahid berkata demikian berikutan ada pemimpin UMNO mempertikaikan kenyataannya bahawa enam bukan 96 bahagian yang mahu pemilihan parti dahulu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, dalam wawancara di NRChannel Jumaat lalu, beliau menjelaskan, hanya enam daripada 190 bahagian UMNO di seluruh negara mengemukakan usul supaya diadakan pemilihan parti dahulu sebelum PRU-15.

Menurut beliau, bukan niatnya untuk membidas pihak yang mendakwa konon 96 bahagian UMNO mahu pemilihan parti terlebih dahulu sebelum PRU-15, namun itu adalah kebenarannya.

“Saya wajib menyatakan kebenaran apabila ditanyakan mengenai hal tersebut.

“Seperti diperjelaskan, saya tidak tahu bagaimana pihak yang membuat dakwaan itu mendapat angka 96, namun laporan yang saya terima daripada bahagian-bahagian UMNO adalah yang rasmi dan sahih.

“Sebagai Presiden UMNO, saya tidak boleh membuat kesimpulan hanya bersandarkan hearsay kerana perkara itu melibatkan kepentingan dan kehendak majoriti 3.3 juta ahli UMNO di seluruh negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

......