POLITIKPANAS!! Umno mahu PRU15 selepas 31 Julai, kerajaan sekarang terlalu rapuh, kata...

PANAS!! Umno mahu PRU15 selepas 31 Julai, kerajaan sekarang terlalu rapuh, kata Bung

Umno mahu pilihan raya umum diadakan tahun ini supaya ia mendapat mandat baharu untuk membentuk kerajaan yang lebih kukuh, kata Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin.

Bung, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, berkata adalah penting untuk mendapatkan mandat baharu kerana kerajaan sedia ada hanya dibentuk atas persefahaman bahawa ia adalah untuk memerangi pandemik Covid-19.

Beliau berkata parti itu serta Barisan Nasional (BN) sudah pun mengambil pendirian untuk tidak melanjutkan memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan ketua menteri Sabah itu berkata, tindakan itu, adalah isyarat jelas bahawa Umno dan BN mahukan pilihan raya umum tahun ini.

“Umno berpendapat pilihan raya umum mesti diadakan selepas MoU tamat. Saya tidak pasti bila tetapi yang pasti tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di sini hari ini.

“Ini bukan semata-mata untuk Umno membentuk kerajaan tetapi kita melihat ia sebagai satu cara untuk meningkatkan ekonomi negara.”

Bung berkata jumlah pelabur yang masuk dalam negara tidak mencukupi kerana mereka tidak terlalu yakin dengan kestabilan politik negara.

“Mereka menganggap Malaysia rapuh dari segi politik kerana perdana menteri boleh tumbang apabila mana-mana parti menarik balik sokongannya.

“Kita telah melalui tiga kerajaan dalam satu penggal, ia tidak baik untuk negara, ekonomi dan rakyat. Itulah sebabnya kami memerlukan mandat baharu,” kata ahli Parlimen Kinabatangan itu.

Baru-baru ini, Majlis Tertinggi Umno memutuskan MoU antara kerajaan pusat dan PH tidak akan dilanjutkan lagi selepas tamat Julai ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sedia ada akan mengikut keputusan Majlis Tertinggi Umno tetapi tidak menolak kemungkinan beberapa perubahan boleh berlaku sebelum penghujung Julai.

Bagaimanapun, Ismail menambah, beliau masih masih perlu mendapatkan kelulusan pucuk pimpinan parti “jika terdapat sebarang perubahan”.

PH sebelum ini menawarkan untuk memperbaharui MoU dengan syarat Ismail tidak segera mengadakan pilihan raya umum, sesuatu yang dituntut Umno berikutan kemenangan besarnya pada pilihan raya negeri Melaka dan Johor.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/04/16/umno-mahu-percepatkan-pru15-kerajaan-sekarang-terlalu-rapuh-kata-bung/

......