NASIONALPANAS! Syed Saddiq cadang Kerajaan wajar lulus penggunaan hemp, marijuana untuk perubatan

PANAS! Syed Saddiq cadang Kerajaan wajar lulus penggunaan hemp, marijuana untuk perubatan

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) mencadangkan agar kerajaan memberi kelulusan kepada industri hemp dan marijuana bagi manfaat perubatan dan ekonomi.

Bekas menteri belia dan sukan itu ketika memberitahu Dewan Rakyat, berkata, pasaran hemp dan marijuana dianggarkan kini bernilai RM60 bilion dan dijangka melebihi RM400 bilion dalam tempoh empat tahun akan datang.

Syed Saddiq berkata, memandangkan industri berkenaan juga boleh membantu sebagai kaedah rawatan alternatif kepada masalah kesihatan mental dan sebagainya.

“Ini bukan perkara baharu dan saya masih ingat ketika di Kabinet sebelum ini, ada kajian dilakukan secara terperinci. Jadi, saya berharap kerajaan dapat membentangkan satu kertas kerja yang telus, ikhlas, dipacu data dan sains berkenaan baik dan buruknya kelulusan industri ini (hemp dan marijuana).

“Saya katakan ini kerana di lebih 40 negara, kelulusan hemp atau marijuana perubatan sudah diberikan seperti di Australia, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Argentina, Denmark dan terbaharu Thailand,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat.

Elaun gratuiti bekas menteri, Ahli Parlimen harus dihentikan

Dalam ucapannya, Syed Saddiq turut menggesa kerajaan menghentikan bayaran gratuiti (elaun tanggungan) kepada bekas menteri, wakil rakyat selepas mereka berpencen daripada jawatan itu.

Katanya, seorang Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menerima RM1 hingga RM2 juta sebagai gratuiti.

Elaun itu katanya, diambil kira jawatan dan tempoh yang pernah dipegang oleh mana-mana Ahli Parlimen mahupun ADUN ketika berkhidmat.

“Contoh kalau Ahli Parlimen empat hingga lima penggal walaupun jadi menteri satu hari pun gratuiti itu telah melangkaui RM1 juta,” katanya.

Katanya, seorang menteri dibayar gaji pada kadar RM55,000 setiap bulan yang turut mendapat pelbagai insentif dan kelebihan lain.

“Saya tahu kerana pengalaman saya sebagai menteri, gaji seorang menteri setiap bulan RM55,000, dapat rumah yang agak mewah di Putrajaya, kereta ada pemandu, makan pun boleh claim (tuntut) dengan kerajaan.

“Dapat plat nombor kalau jual dapat ratusan ribu, dapat AP untuk bawa masuk kereta mewah. Satu bidang tanah di Putrajaya, elaun percutian bagi yang sudah berkahwin boleh melebihi RM100,000 hingga RM200,000 setiap tahun,” katanya,

Justeru itu, beliau meminta agar kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, menghentikan amalan ini dan fokus kepada membantu rakyat.

“Saya berharap agar kerajaan baharu yang telah bertukar tiga kali dan ada menteri yang telah kekal tiga kali, adakah gratuiti dia hanya sekali atau setiap kali dia berhenti naik RM1 juta,” katanya.

Malah, Syed Saddiq turut menggesa agar segala jawatan pencen itu diberikan satu kadar pencen yang sepatutnya.

“Jika Ahli Parlimen yang pernah berkhidmat sebagai ADUN, exco, menteri itu semua merupakan pencen yang berasingan dan kalau digabungkan pencen tersebut, ia boleh melangkaui RM100,000 sebulan, jika pernah berkhidmat di banyak kedudukan yang berbeza.

Justeru katanya, tiba masanya untuk kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ menubuhkan satu jawatankuasa bagi membincangkan perkara itu agar Malaysia tidak terbeban dengan bayaran pencen tidak munasabah itu.

Kerajaan wajar lulus penggunaan hemp, marijuana untuk perubatan, kata Syed Saddiq

......