NASIONALPANAS!! Sijil vaksin palsu: Jangan beri muka, pastikan mereka dihukum, gesa MMA

PANAS!! Sijil vaksin palsu: Jangan beri muka, pastikan mereka dihukum, gesa MMA

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyokong desakan supaya individu yang terlibat dalam pengeluaran dan penjualan sijil vaksin Covid-19 palsu dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa.

Dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, pelbagai tangkapan dibuat di seluruh negara melibatkan kesalahan itu. Di Selangor sahaja sekurang-kurangnya 5,600 sijil palsu dipercayai dijual.

Presiden MMA, Dr Koh Kar Chai, menggesa penguat kuasa undang-undang memburu mereka yang bersalah, malah berkata, persatuan juga akan membuat laporan polis berdasarkan satu aduan yang diterima baru-baru ini.

“Kami mahu semua yang terlibat dibawa ke muka pengadilan dan menghadapi hukuman sepenuhnya mengikut undang-undang. Kesalahan ini amat serius yang mampu menjejaskan nyawa orang lain.

“Kami tidak akan membiarkan segelintir ‘kambing hitam’ mencemar nama baik dan reputasi profesion ini,” katanya dalam kenyataan hari ini merujuk kepada doktor yang ditahan berkaitan kesalahan itu.

“MMA menyokong tindakan setegas-tegasnya diambil terhadap mana-mana pengamal perubatan yang didapati terlibat dalam perbuatan jenayah dan tidak bertanggungjawab ini.”

Katanya, doktor yang didapati bersalah boleh dibatalkan lesen pengamal perubatan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC), selain Kementerian Kesihatan juga patut menutup klinik mereka.

Gesaan MMA itu seiring desakan Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein minggu lalu supaya hukuman maksimum dikenakan terhadap mereka yang didapati bersalah.

“Ini sesuatu yang susah saya hendak terima dan maafkan kerana ia menjejaskan keselamatan dan kesihatan orang ramai yang tidak berdosa.

“Saya mahu penguatkuasaan undang-undang sepenuhnya ke atas mereka dan saya mahu pastikan mereka sedar ada had bila tiba tentang keuntungan yang menjejaskan kehidupan orang ramai,” katanya.

Beberapa tangkapan telah dibuat di Terengganu dan Selangor berkaitan dengan pengeluaran sijil vaksinasi palsu.

Sijil vaksin palsu: Jangan beri muka, pastikan mereka dihukum, gesa MMA

......