NASIONALPANAS!! Rusuhan di tokong Cheras, pengurusan mohon maaf

PANAS!! Rusuhan di tokong Cheras, pengurusan mohon maaf

Pihak pengurusan Tokong Chee How, di Cheras memohon maaf kepada pihak berkuasa dan orang ramai susulan rusuhan di situ pada 28 Sept lalu.

Memetik laporan Malaysiakini, pihak tokong turut melepaskan tuntutan terhadap tanah yang mencetuskan perselisihan faham itu, seterusnya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa.

“Kami dengan rasa amat kesal dan memohon maaf berhubung kekeliruan dan kontroversi yang timbul dari insiden itu,” menurut kenyataan yang menambah kunci pagar yang berdekatan akan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Kementerian Pendidikan untuk membolehkan kerja-kerja pembinaan sewajarnya dilakukan.

Kekacauan tercetus pada 28 Sept lalu dengan video tular menunjukkan sekumpulan orang membawa kayu dan besi, menyerang anggota polis serta merosakkan jentolak kerana beranggapan pihak berkuasa mahu merobohkan rumah ibadat itu.

Salah faham itu selepas pihak Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG) hadir untuk membina pagar penghadang ‘hoarding’ bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah.

Polis turut menafikan terdapat tindakan untuk merobohkan tokong.

Setakat ini, 24 individu telah ditangkap berhubung rusuhan tersebut.

Sementara itu Timbalan Menteri Pendidikan I, Mah Hang Soon memuji tindakan mereka memohon maaf itu.

Mah berkata, rusuhan itu juga tiada kaitan dengan isu keagamaan atau perkauman sebaliknya melibatkan pembinaan sekolah di kawasan belakang tokong berkenaan.

“Perbincangan antara Kementerian Pendidikan Malaysia, Pejabat Tanah, Pihak Berkuasa Tempatan dan pihak-pihak berkenaan, telah menjelaskan perancangan pembinaan sebuah sekolah menengah baharu di atas tanah rizab sekolah yang terletak di belakang tokong untuk menampung keperluan penduduk tempatan susulan pembinaan 7000 unit perumahan rakyat (PPR).

“Perancangan tersebut telah bermula sejak tahun 2017.

“Pihak KPM telah menjalankan tinjauan dan kajian untuk mengenal pasti tanah rizab pendidikan di lokasi lain yang berdekatan bagi projek pembinaan sekolah menengah baharu tersebut. Namun, setelah penelitian holistik, tanah rizab sekolah tersebut adalah satu-satunya lokasi yang paling strategik untuk projek pembinaan sekolah menengah baharu tersebut,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Tokong, Yap Chee Fong.

Katanya, susulan rusuhan itu pelbagai spekulasi timbul yang jelas terpesong daripada fakta sebenar.

“Berdasarkan pernyataan daripada Encik Yap selaku Pengerusi tokong, saya menyeru semua pihak untuk meneliti insiden ini secara menyeluruh dan rasional demi kesejahteraan bersama. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak tokong yang berjanji akan komited serta akan menyerahkan kunci pagar bagi memudahkan kerja-kerja yang selanjutnya.

Rusuhan di tokong Cheras, pengurusan mohon maaf

......