POLITIKPANAS! Pengumuman batal darurat lebih kepada isu teknikal - Naib Presiden Pas

PANAS! Pengumuman batal darurat lebih kepada isu teknikal – Naib Presiden Pas

Situasi yang berlaku melibatkan pembatalan Ordinan Darurat sehingga menggamatkan suasana Mesyuarat Khas Parlimen di Dewan Rakyat adalah lebih kepada soal teknikal.
Bahkan menurut Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, situasi panas dan provokasi sengaja diwujudkan oleh Ahli Parlimen pembangkang, membuatkan seolah-olah ia satu perkara besar.

Sebaliknya, Pas berpandangan, isu berkenaan boleh diperbetulkan.

“Yang saya faham dari kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan, beliau menjelaskan bahawa kerajaan buat keputusan untuk tarik balik semua Ordinan Darurat kerana akan habis pada 1 Ogos, jadi kerajaan perlu buat (batalkan).

“Keputusannya (ialah) untuk tarik balik ordinan. Jika tidak darurat, bagaimana ordinan hendak wujud? Keputusan Kabinet, kebetulan (dibuat pada) 21 Julai. Jadi, itulah yang saya faham.

“Tetapi, isunya teknikal sahaja. Keluar kenyataan Istana yang kata begitu, itu saya tak tahulah.

“Cuma, saya membaca pandangan peguam, bahawa perkara ini tak perlu dirujuk sebab ini keputusan Kabinet,” katanya ketika diminta mengulas situasi yang berlaku sehingga timbul desakan supaya Takiyuddin meletak jawatan.

“Ia bukan benda besar, cuma pembangkang jadikan isu, (sedangkan) ia isu teknikal yang boleh diperbetulkan,” tambahnya.

Mohd Amar berkata, Pas menyerahkan kepada kebijaksanaan kerajaan untuk menyelesaikannya tanpa memihak kepada sesiapa.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang dibuat di Parlimen pada Isnin (26 Julai) bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan Baginda.
Ini kerana, titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pembatalannya belum lagi diperkenan.

Menurut baginda, semasa majlis menghadap secara maya pada Sabtu (24 Julai), baginda berkenan menitahkan kepada Takiyuddin dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat perlu dibentang dan dibahas di Parlimen bagi tujuan diungkaikan.

Bagaimanapun, ia telah tidak dilaksanakan.

https://www.astroawani.com/berita-politik/pengumuman-batal-darurat-lebih-kepada-isu-teknikal-naib-presiden-pas-311248

......