POLITIKPANAS!! Pemimpin PKR mahu Muda pulangkan kerusi Puteri Wangsa

PANAS!! Pemimpin PKR mahu Muda pulangkan kerusi Puteri Wangsa

Seorang pemimpin PKR berpendapat parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) wajar memikirkan cadangan untuk memulang kerusi Puteri Wangsa yang diberikan Pakatan Harapan (PH) kepada mereka.

Timbalan Ketua Penerangan PKR, Manivanan Gowin, berkata peluang PH atau pembangkang memenangi kerusi tersebut memang cerah dan partinya sudah melakukan kerja-kerja politik di situ sejak lebih setahun lalu.

Katanya sebelum ini PKR berhasrat mencalonkan Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis, yang merupakan anak kelahiran kawasan DUN Puteri Wangsa, di situ.

“Napsiah juga telah melakukan gerak kerja secara agresif di DUN tersebut dan mempunyai jentera kempen teratur yang diselaraskan untuk tempoh masa melebihi setahun.

“Sekiranya Syed Saddiq menghayati perjuangan ini secara ikhlas dan jujur, seharusnya (Muda) mempertimbangkan untuk memulangkan kerusi tersebut untuk memastikan kemenangan PH atau blok pembangkang,” katanya merujuk kepada Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Manivanan menyatakan pandangan itu dalam sepucuk surat terbuka ditujukan kepada ahli parlimen Muar berkenaan.

Kerusi Puteri Wangsa diserahkan kepada Amanah melalui rundingan yang dijalankan dalam kalangan pemimpin parti komponen gabungan tersebut.

Atas semangat setia kawan

Bagaimanapun melalui rundingan berasingan yang dilakukan Amanah serta DAP, mereka mencapai persetujuan untuk menyerahkan kerusi tersebut kepada Muda, bersama lima kerusi lain.

PKR tidak memerlukan masa yang lama untuk menyatakan rasa tidak senang mereka dengan persetujuan tersebut dengan Napsiah sendiri mengeluarkan kenyataan malam tadi.

Manivanan berkata dalam beberapa siri perbincangan mengenai pembahagian kerusi sesama PH Johor, PKR telah memberikan hujah agar Puteri Wangsa diberikan kepada mereka.

“Bagaimanapun, atas semangat setia kawan, PKR memberikan kerusi tersebut kepada Amanah. Seterusnya pucuk pimpinan tertinggi Amanah dan DAP telah memberikan kerusi ini kepada Muda.

“Sekiranya benar perjuangan Muda berteraskan kefahaman strategik dan matlamat bersama untuk memastikan kemenangan rakyat dan membawa kestabilan politik di Johor, sewajarnya mereka memberikan kerusi Puteri Wangsa kepada Napsiah,” katanya.

Untuk rekod, daripada enam kerusi yang diberikan kepada Muda, Puteri Wangsa dilihat sebagai kerusi yang paling berpotensi untuk dimenangi memandangkan PH – dan sebelumnya Pakatan Rakyat – berjaya menang di kawasan itu selama dua penggal.

Pada pilihan raya umum (PRU) 2013, PAS – ketika itu masih sebahagian daripada Pakatan Rakyat – memenangi kerusi Puteri Wangsa dengan majoriti 3,469 undi.

Selepas PAS keluar daripada gabungan berkenaan, Amanah menggantikan tempat mereka dalam PH.

Bagaimanapun, kerusi Puteri Wangsa diserahkan kepada Bersatu sebagai sebahagian daripada rundingan bagi membolehkan parti tersebut bertanding di majoriti kerusi di negeri Johor pada PRU ke-14 lalu.

Bersatu menang di situ dengan majoriti 24,949 undi, tetapi parti berkenaan berpaling tadah dengan meninggalkan PH pada 2020.

https://www.malaysiakini.com/news/610212

......