POLITIKPANAS! Peja kata ikutkan matematik, ini adalah kerajaan PN

PANAS! Peja kata ikutkan matematik, ini adalah kerajaan PN

Seorang pemimpin kanan Bersatu menegaskan parti itu melihat kerajaan yang bakal dibentuk oleh Ismail Sabri Yaakob selepas ini kekal sebagai Perikatan Nasional (PN).

Menurut Ahmad Faizal Azumu, pandangan itu dibuat berdasarkan realiti “matematik” komposisi ahli parlimen yang ada dalam Dewan Rakyat ketika ini.

Justeru kata timbalan presiden Bersatu itu, mereka menganggap ia masih kerajaan PN.

“Pada kami (Bersatu), ia adalah kerajaan PN kerana boleh dilihat secara matematiknya.

“Kami ada 77 (ahli parlimen) dan kawan sebelah (BN) ada 41 (ahli parlimen)… kami percaya ia mewakili kerajaan PN,” katanya seperti dipetik BH Online hari ini.

Bekas menteri besar Perak itu ditemui selepas menghadiri mesyuarat PN di Kuala Lumpur petang ini. Ia dipengerusikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan turut dihadiri Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Turut hadir Ketua Penerangan merangkap Pengarah Pilihan Raya PN Azmin Ali dan Ketua Pemuda PN, Khairil Nizam Khirudin.

Isu nama kerajaan yang dibentuk selepas peletakan jawatan Muhyiddin kini menjadi polemik apabila jawatan perdana menteri kini diisi Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno.

Hubungan Umno dan Bersatu semakin tegang sebelum ini sehingga menyaksikan Muhyiddin kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Ia kemudian menyaksikan Malaysia mendapat perdana menteri baru untuk kali kedua tanpa melalui PRU.

Ahmad Faizal juga menegaskan PN sepakat memberikan dukungan padu kepada Ismail Sabri sebagai perdana menteri

“Kami sedang dan akan meneruskan usaha untuk mempersiapkan PN bagi menghadapi pilihan raya. Jentera dan kerjasama antara parti itu akan diperkukuhkan lagi,” katanya.

https://www.malaysiakini.com/news/588218

......