POLITIKPANAS! Pas dijangka tinggalkan PN, kembali ke MN

PANAS! Pas dijangka tinggalkan PN, kembali ke MN

Pas dijangka tinggalkan PN, kembali ke MN. PAS dijangka menghidupkan kembali kerjasama dengan Umno menerusi Muafakat Nasional (MN) jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang, kata penganalisis politik.

Pakar geostrategis, Azmi Hassan, berkata pendirian politik PAS yang bercelaru dengan mempertahankan PN dan pada masa sama menyokong MN hanya sekadar mahu membeli masa untuk kepentingan jangka hayat politik parti Islam itu.

“Besar kemungkinan Ahli Parlimen Umno yang menyokong Muhyiddin Yassin sebelum ini akan sedikit demi sedikit menjadi tiris, dan PAS diramal akan kembali kepada MN bersama Umno,” katanya kepada FMT.

Katanya, Umno yang sebelum ini lantang mengkritik kerajaan PN sudah pasti menerima PAS dengan tangan terbuka, sama juga dengan Umno yang akan menerima pemimpinnya yang condong terhadap Muhyiddin.

Azmi Hassan.
“Umno memahami pragmatik bahawa mereka amat memerlukan sokongan (mereka) untuk meneruskan langkah seterusnya,” katanya.

Azmi menambah, PAS juga sedang tersepit ketika ini kerana terdapat ura-ura PN akan memancing sokongan DAP untuk terus bertahan di Putrajaya.

“Dalam hal ini PAS perlu buat keputusan segera, sama ada keluar PN dan bersama MN supaya mereka tidak lagi tersepit dalam percaturan politik licik PN,” katanya.

Pas

Penganalisis politik veteran, Ahmad Atory Hussain, yang turut senada meramalkan PAS akan menuruti Umno sekiranya 28 Ahli Parlimen Umno yang berada dalam PN ketika ini kembali ke pangkuan Ahmad Zahid Hamidi.

Ini kerana, katanya, dua parti Islam-Melayu terbesar itu sudah mempunyai kerangka kerjasama melalui MN walaupun pemimpin Umno dikatakan kleptokrat.

“Untuk teruskan jangka hayatnya, PAS akan keluarkan dalil baru untuk sejajarkan dengan langkah mereka itu,” katanya kepada FMT.

Mengenai perdana menteri interim, Ahmad Atory berkata Yang di-Pertuan Agong kemungkinan besar berkenan melantik Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sehingga krisis Covid-19 selesai.

Ahmad Atory Hussain.
Beliau juga berpendapat, jawatan itu tidak akan disandang oleh pemimpin pembangkang kerana mereka terbukti gagal sepanjang mentadbir negara selama 22 bulan.

“Satu janji pun mereka gagal tunaikan, sembang dan provokasi bohong bolehlah,” katanya.

Semalam, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata parti itu hanya akan menetapkan sebarang keputusan lanjut selepas meneliti hasil Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang dijadual berlangsung hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata ketika ini parti terus kekal dengan pendirian mereka untuk bersama kerajaan PN dan pada masa sama memperkukuhkan MN.

Perdana menteri mempengerusikan satu mesyuarat khas Kabinet yang dijadualkan pada 10 pagi ini sebelum berangkat menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Semalam, media melaporkan, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Redzuan Md Yusof memaklumkan, Muhyiddin akan menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai perdana menteri di Istana Negara, hari ini.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/16/perikatan-nasional-tumbang-muafakat-nasional-dijangka-kembali-bernyawa-kata-penganalisis/

......