NASIONALPANAS! Negara tidak gagal, sistem kerajaan masih berfungsi kata Tok Pa

PANAS! Negara tidak gagal, sistem kerajaan masih berfungsi kata Tok Pa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed menyangkal bahawa Malaysia menuju ke arah status negara gagal, memandangkan sistem kerajaan masih berfungsi dengan baik.

Mustapa merujuk laporan portal Bloomberg semalam yang mendakwa sedemikian, susulan kempen bendera putih yang digerakkan orang ramai bagi membantu mereka yang berdepan kesukaran akibat dampak Covid-19.

Bloomberg menyatakan bahawa kita adalah failed state, tapi sebenarnya kita sudah buat yang terbaik. Institusi kita bergerak, jabatan kesihatan, Kementerian Kesihatan, pegawai kerajaan masih berfungsi.

“Kerajaan gagal bermakna lumpuh, tentera tak berfungsi, polis dan askar tak buat kerja, sempadan bolos, pendatang asing masuk negara kita, Kementerian Kesihatan tak berfungsi.

“Tetapi di Malaysia institusi kita terus berfungsi. Jadi, untuk memberi gambaran Malaysia menuju negara gagal, ini tidak benar,” katanya pada sidang media ketika menyampaikan bakul makanan kepada penerima di sekitar Kampung Berdang, Jeli, Kelantan, hari ini.

Artikel itu antara lain membayangkan kempen bendera putih itu sebagai inisiatif rakyat di saat pihak berkuasa gagal menangani kesan wabak.

Malaysia juga berada dalam kedudukan ke-51 daripada 53 negara dalam “Ranking Ketahanan Covid-19” yang diterbitkan Bloomberg pada 19 Jun lalu.

Sementara itu, Mustapa yang juga anggota Parlimen Jeli berkata, semua ahli politik menjalankan tugas masing-masing walaupun parlimen tidak bersidang menunjukkan sistem kerajaan masih bergerak dalam membantu rakyat.

“Semua ahli politik terus jalankan tugas walaupun parlimen belum bersidang untuk kesejahteraan rakyat… Tak kiralah kerajaan parti apa, kerajaan atau pembangkang,”jelasnya lagi.

Turut hadir, Yang Dipertua DUN Kelantan, Abdullah Ya’kub dalam menyampaikan sebanyak 6000 bakul makanan kepada penduduk di situ.

Penularan wabak Covid-19 kian memburuk dengan kadar kebolehjangkitan (R-naught) semalam mencatat nilai tertinggi, iaitu 1.12, sejak sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu.

Beberapa indikator lain juga mencatat angka tertinggi, seperti bilangan kes baru dengan 9,180 kes, bilangan pesakit dalam Unit Rawatan Rapi (959) dan bilangan pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan (465).

Peralihan daripada fasa 1 ke fasa 2 Pelan Pemulihan Negara pula, yang akan membenarkan lebih banyak sektor ekonomi dibuka, hanya boleh dibuat selepas beberapa kriteria dicapai, antaranya kadar kes baru harian di bawah 4,000.

......