POLITIKPANAS! Muda takkan serah kerusi Puteri Wangsa kepada PKR

PANAS! Muda takkan serah kerusi Puteri Wangsa kepada PKR

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak akan menyerahkan  kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa kepada Parti Keadilan Rakyat.

Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, parti itu kekal dengan keputusan yang telah dicapai bersama Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP Johor baru-baru ini yang memperuntukkan MUDA enam kerusi untuk dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

“MUDA adalah parti yang berdiri sendiri, kami telah menandatangani  pakatan pilihan raya dan keputusan rundingan bersama dengan PAN dan DAP telah dibuat, jadi MUDA akan pertahankan itu,” katanya ketika sidang media selepas pelancaran Muda malam ini.

Turut hadir Presiden PAN, Mohamad Sabu dan wakil daripada DAP iaitu Teresa Kok.

Sebagai rekod selepas beberapa siri rundingan, Amanah dan DAP Johor dilaporkan memperuntukkan enam kerusi DUN untuk Muda pada pilihan raya negeri di Johor.

Enam kerusi berkenaan adalah DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Walau bagaimanapun, Timbalan Ketua Penerangan PKR, Manivanan Gowin dilaporkan mahu MUDA memulangkan kerusi berkenaan kepada PKR.

Ini kerana, parti itu berhasrat mencalonkan Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis untuk bertanding di DUN itu.

Ditanya sama ada parti berkenaan akan menerima tiga kerusi yang ditawarkan oleh PKR, Syed Saddiq berkata, perkara itu akan dibincangkan secara tertutup.

Sementara itu, beliau akan mengumumkan enam calon yang akan diketengahkan oleh MUDA secara berperingkat mulai minggu depan.

Beliau memberi jaminan parti itu bakak mengetengahkan lebih ramai calon wanita untuk bertanding pada PRN Johor kali ini.

“Calon pertama minggu depan minggu depan.  Calon-calon datang dari pelbagai latar belakang. Nama calon masih dibincangkan dan akan kita maklum dalam tempoh terdekat,” tambah beliau.

Namun Ahli Parlimen Muar itu tidak memaklumkan sama ada beliau akan bertanding merebut salah satu DUN di Johor nanti.

Cuma, katanya, ramai ahli partinya layak untuk diketengahkan pada PRN Johor.-MalaysiaGazette

......