NASIONALPANAS! Kerajaan negeri Selangor diam-diam nyah warta separuh hutan simpan Kuala Langat

PANAS! Kerajaan negeri Selangor diam-diam nyah warta separuh hutan simpan Kuala Langat

DUN S’GOR | Kerajaan Selangor telah melakukan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) pada bulan Mei.

Perkara berkenaan hanya didedahkan ketika sesi soal jawab pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Exco Pelancongan Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli Selangor Lee Hoy Sian (PH-Kajang) memberitahu sidang DUN bahawa kerajaan negeri memutuskan untuk tidak membenarkan penggunaan keseluruhan kawasan sebagaimana rancangan asal selepas mendapat bantahan komuniti.

Lee berkata keputusan itu dicapai pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke-17/2021 pada 5 Mei lepas yang disahkan oleh MMKN ke-18 pada 19 Mei.

Menurutnya, MMKN telah memutuskan seluas kira-kira 536.70 hektar daripada keseluruhan kawasan HSKLU diluluskan untuk dinyahwarta di bawah Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985.

Exco Alam Sekitar dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Lee Hoy Sian.

“Jumlah keluasan HSKLU yang ingin dinyahwarta ini adalah kurang 45 peratus daripada jumlah asal yang dicadangkan iaitu berjumlah kira-kira 991.90 hektar.

“Hal ini kerana kerajaan negeri telah mengambil kira bantahan dan kepentingan biodiversiti serta kepentingan Orang Asli, justeru hanya sebahagian HSKLU yang dinyahwarta,” katanya.

Penjelasan Lee bagi menjawab soalan bertulis daripada Elizabeth Wong (PH-Bukit Lanjan), Lim Yi Wei (PH-Kampung Tunku),  Dr Ahmad Yunus Hairi (PAS-Sijangkang), Mohd Imran Tamrin (BN-Sungai Panjang), R Rajiv (PH-Bukit Gasing) yang ingin mengetahui berhubung penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dan cadangan penambahan keluasan Hutan Simpan Kekal.

K’jaan ganti kawasan lain gazet HSK

Pun begitu, kata Lee Selangor meluluskan 581.48 hektar tanah di daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Hulu Langat sebagai kawasan gantian Hutan Simpan Kekal (HSK) pada Mei lalu.

Kawasan tersebut melibatkan mukim Sungai Panjang daerah Sabak Bernam seluas kira-kira 308.62 hektar: Ampang Pechah, mukim Buloh Telor daerah Hulu Selangor (208.98 hektar) dan Bukit Broga, mukim Semenyih daerah Hulu Langat seluas 63.88 hektar.

“Secara umumnya, kerajaan negeri Selangor masih dapat mengekalkan keluasan HSK di Selangor tidak kurang daripada 30 peratus.

“Setelah mengambil kira keluasan HSK yang akan dinyahwartakan dan kawasan gantian baharu, jumlah keluasan HSK adalah berjumlah kira-kira 250,255.36 hektar,” katanya.

 

Pada bulan Mac tahun lalu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari memaklumkan dua syarikat telah mencadangkan untuk membangunkan kawasan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara.

Firma tersebut ialah Titian Jutaria Sdn Bhd dan Menteri Besar Incorporated Selangor (MBI Selangor).

 

Pendengaran awam mengenai rancangan penghapusan pewartaan itu diadakan pada bulan September tahun lalu, yang mana ramai pihak membantah tindakan tersebut.

Hutan di Kuala Langat Utara merupakan hutan paya gambut yang jarang-jarang ditemui, berhampiran Cyberjaya dan habitat semula jadi untuk haiwan yang diancam kepupusan.

‘Gunalah otak!’

Elizabeth Wong pada sidang DUN juga dengan tegas mengecam Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri kerana enggan memperhatikan keputusan dewan undangan negeri Selangor pada bulan November tahun lalu untuk membatalkan rancangan penyahwartaan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara.

Pada waktu itu, DUN sebulat suara menyokong usul yang dikemukakan oleh Najwan Halimi (PH-Kota Anggerik).

Wong yang juga bekas exco alam sekitar berpendapat Selangor mempunyai tanah yang cukup untuk pembangunan dan oleh demikian negeri itu tidak boleh mengorbankan hutan simpan bagi tujuan komersial.

Gambar fail, Wong pada sesi pendengaran awam nyah warta HSK Kuala Langat.

 

“Kita boleh pertimbangkan (membangunkan tanah) jika ia demi kepentingan orang ramai. Tapi bukan untuk ketamakan dan keuntungan pihak swasta.

“Saya nak tanya YB Kajang (Lee), siapa akan ambil milik tanah tersebut. Apa nama syarikat itu? Siapa pemilik tersebut?

“Saya rasa dewan ini perlu jawapan yang lebih kukuh dan teliti daripada kerajaan negeri Selangor.

“Kita bukan macam negeri-negeri lain, senang beri tanah untuk balak. Senang beri tanah untuk pihak swasta bangunkan apa-apa.

“Saya amat kesal. Amat kecewa dengan kerajaan negeri Selangor. Kamu ada keupayaan, kamu ada otak tetapi tidak menggunakan ke tahap kapasiti penuh,” bidasnya.

Usul Najwan tak mengikat

Sebagai jawapannya, Lee menjelaskan usul Najwan tidak mempunyai kesan yang mengikat pada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Usul daripada individu di kalangan ahli-ahli Yang Berhormat, adalah satu usul yang menjadi panduan kepada kita ia bukan mengikat keputusan MMKN.

“MMKN boleh membuat keputusan,” katanya.

Jelasnya lagi, keputusan itu dipersetujui sebulat suara oleh majlis mesyuarat Kerajaan Selangor.

Mengenai hujah Wong, bahawa tindakan kerajaan negeri salah dalam mengeluarkan hutan paya gambut yang jarang-jarang ditemui itu sebagai hutan simpan, Lee berpendapat “hutan gantian” di Sungai Panjang juga merupakan kawasan paya gambut.

Katanya, seorang perunding telah menasihatkan kerajaan negeri bahawa kepelbagaian bio dalam hutan simpan “gantian” hampir sama dengan hutan simpan Kuala Langat.

Mengenai identiti pemaju, Lee mendedahkan bahawa Gabungan Indah Sdn Bhd akan membangunkan kawasan seluas 494.7 hektar di hutan yang telah dinyahwartakan status perlindungan alam sekitarnya itu.

Gabungan Indah dimiliki sepenuhnya oleh Venturescape Sdn Bhd yang dimiliki sepenuhnya oleh Perdana Parkcity – pemaju Desa Parkcity di Kuala Lumpur.

https://www.malaysiakini.com/news/589269

......