POLITIKPanas!! Kempen laporan polis Rafizi untungkan Najib kata penganalisis

Panas!! Kempen laporan polis Rafizi untungkan Najib kata penganalisis

Seorang penganalisis menyifatkan tindakan Rafizi Ramli menggesa ahli PKR “menyerang” Najib Razak dengan membuat laporan polis setiap kali beliau membuat kenyataan di media sosial sebagai terdesak dan dangkal.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, walaupun Najib dilihat sebagai sasaran menarik, namun bekas perdana menteri itu bukan individu yang “lembut” atau mudah “dijinakkan”.

“Dengan pengalaman Najib yang begitu luas, bukan mudah untuk jadikan beliau sasaran yang lembut atau mudah.

“Amat dangkal dan daif sekali atau mungkin Rafizi terdesak mengemukakan strategi sedemikian rupa,” katanya kepada FMT.

Berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional ke-16 Ahad lalu, Rafizi meminta semua perwakilan parti itu di seluruh negara membuat laporan polis terhadap Najib kerana didakwa memainkan isu perkauman dan meracuni pemikiran rakyat.

Rafizi yang memenangi jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti baru-baru ini, menetapkan tugas utama kepada perwakilan PKR ketika ini ialah memberi tekanan kepada Najib yang sering mempengaruhi rakyat menerusi pelbagai kenyataan di media sosial.

Mengulas lanjut, Azmi berpendapat strategi Rafizi yang cuba mencipta persepsi “Najib individu yang perlu ditewaskan” hanya akan menguntungkan ahli Parlimen Pekan itu dan “mematikan” langkah PKR serta pembangkang menjelang pilihan raya umum ke-15.

“Walaupun ribuan laporan polis dibuat ahli PKR demi menyahut seruan Rafizi, yang mendapat untungnya adalah Najib dan Barisan Nasional kerana memberi publisiti menjelang PRU15.

“Ini adalah strategi yang akan makan diri sendiri, bukan saja terhadap Rafizi, tetapi PKR dan pembangkang,” tambahnya.

Penganalisis keselamatan dan politik dari Universiti Teknologi Mara, Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, acuan propaganda politik sempit atau serangan berbentuk peribadi tidak lagi relevan dalam arena politik negara ketika ini.

“Serangan berbentuk peribadi adalah perkara tidak sihat dalam politik negara. Sekiranya ini terus berlaku, maka rakyat akan lihat politik ini tidak sihat dan tidak baik,” katanya.

Beliau berkata, rakyat dahagakan politik segar, bukannya mainan politik yang boleh menjauhkan mereka daripada arena politik, seterusnya mengakibatkan penurunan trend pengundian dalam pilihan raya.

“Perlunya ahli politik sama ada dari pembangkang atau kerajaan melepaskan seteru mereka dan kembali ke arah politik lebih progresif.

“…kerana apa yang kita mahu adalah membina satu bentuk persepsi imej politik negara yang bebas daripada kecaman atau strategi berbentuk hasutan, atau perkara tidak sihat kepada demokrasi matang. Ini harapan rakyat,” katanya.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/07/19/seru-ahli-pkr-serang-najib-hanya-untungkan-bekas-pm-kata-penganalisis/

......