POLITIKPANAS KEJUNG!! Ahmad Shabery terus menyindir, kura-kura terhempas kerana pujian

PANAS KEJUNG!! Ahmad Shabery terus menyindir, kura-kura terhempas kerana pujian

KUALA TERENGGANU: Selepas berudu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek meneruskan sindiran kepada golongan tertentu yang disifatkannya mudah tersungkur dalam sebarang hubungan kerjasama gara-gara melanggar syarat perjanjian.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, Ahmad Shabery berkata, kelemahan golongan berkenaan terhadap pujian telah menghukum mereka walaupun selama ini kebal dengan kejian ramai.

“Pernah dengar cerita itik dan kura-kura? Kisahnya kerana kolam kering dan semua binatang berpindah mencari tempat lain, tetapi kura-kura kesedihan kerana bebanan di belakangnya menyukarkan untuk pergi jauh.

“Ada sepasang itik yang baik hati memberi cadangan untuk menerbangkan kura-kura itu menggunakan sebatang kayu dengan syarat, sabar dan diam ketika terbang bersama,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Menurut Ahmad Shabery, dalam perjalanan itu kura-kura teruja dapat melihat pemandangan yang luas dan indah, malah walaupun menerima usikan nakal daripada kanak-kanak yang melihatnya terbang tetapi, haiwan berkenaan tetap diam serta sabar.

Namun, katanya, keseronokan kura-kura tidak bertahan lama apabila haiwan itu leka dengan pujian gagak hingga melanggar syarat perjanjian dengan itik apabila dikesan bersuara sekali gus menyebabkannya jatuh terhempas.

Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Kemaman itu menyelar pihak atau parti tertentu yang gemar bermain banyak kolam dalam politik seperti berudu. – UTUSAN ONLINE

......