NASIONALPANAS!! Ali Puteh diperintah bayar RM60,000 pada isteri Abam Bocey

PANAS!! Ali Puteh diperintah bayar RM60,000 pada isteri Abam Bocey

Adik pelawak Allahyarham Abam Bocey, Ali Puteh diperintah membayar RM60,000 kepada kakak iparnya, Siti Norhidayah Mohd. Ali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini berhubung kenyataan aib di laman sosial Instagram dua tahun lalu.

Hakim Zulqarnain Hassan memerintahkan demikian selepas membenarkan saman fitnah yang dikemukakan Siti Norhidayah, 30, selaku plaintif terhadap Ali Puteh atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd. Ridzuan ,34, sebagai defendan.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, hakim Zulqarnain berkata, hantaran itu adalah sangat menjatuhkan maruah dan mengaibkan isteri arwah.

“la adalah kata-kata yang amat keras dan melampau seolah-olah isteri arwah (plaintif) adalah spesies asing yang kerjanya merompak harta orang tanpa ada hati dan perasaan. Apatah lagi jika ditujukan kepada seorang wanita yang baru beberapa hari hilang tempat bergantung, masih bersedih dengan kematian pasangan hidup dan risau bagaimana ingin membesarkan anak kecil yang berusia lebih kurang setahun,” kata hakim itu

Pada Mei 2020, Siti Norhidayah, 29, telah memfailkan saman fitnah terhadap Ali Puteh, 34, berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu di akaun Instagramnya yang antara lain menggambarkan dirinya seorang yang tidak bertanggungjawab.

Wanita terbabit memohon ganti rugi am, teladan atau punitif dan teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Dia juga memohon satu perintah injunksi bagi menghalang adik iparnya menyiarkan sebarang kenyataan berbaur fitnah terhadap dirinya, kod dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu dalam prosiding sama, mahkamah menolak saman fitnah yang dikemukakan Ali Puteh dan tiga ahli keluarganya lain terhadap Siti  Norhidayah dan usahawan kosmetik Datuk Aliff Syukri Kamarzaman dengan kos sebanyak RM13,000.

Dalam saman itu,  Ali Puteh bersama, bapanya, Syed Mohd. Ridzuan Syed Hassan, 65; ibunya, Allahyarham Sabariah Arshad, 63; dan kakak sulungnya, Sharifah Norwahidah Syed Mohd. Ridzuan, 42, pada Julai 2020 memfailkan saman fitnah terhadap Aliff Syukri dan Siti Norhidayah berhubung satu temu bual yang disiarkan secara langsung di akaun YouTube usahawan kosmetik itu.

Temu bual itu didakwa telah menjatuhkan maruah, mengaibkan dan memfitnah Ali Puteh sekeluarga selaku plaintif.

Sehubungan itu, Ahli Puteh dan keluarganya memohon satu perintah menghalang Aliff Syukri dan Siti Norhidayah daripada mengeluarkan sebarang pernyataan fitnah.

Mereka juga memohon agar kedua-dua individu itu membuat permohonan maaf secara terbuka, menarik balik dan memadamkan video temubual yang berbaur fitnah tersebut di kesemua media sosial milik Aliff Syukri. -KOSMO! ONLINE

Ali Puteh diperintah bayar RM60,000 pada isteri Abam Bocey

......