PH SEDANG TIMBANG LETAK CALON CINA DI TANJONG PIAI JIKA MAHU MENANG

Oleh: ISHAM JALIL

Pada PRU-14, parti Bersatu dari PH telah meletakkan calon Melayu dan mendapat 22% undi Melayu di Tanjung Piai iaitu 5,500 undi berbanding UMNO dan PAS yang mendapat 78% undi Melayu iaitu sebanyak 19,000 undi.

PH telah menang tipis sebanyak 524 undi sebab undi Melayu berpecah tiga.

Bersatu juga telah mendapat 80% undi Cina iaitu sebanyak 15,300 undi berbanding BN yang mendapat 20% undi Cina iaitu sebanyak 4,000 undi.

80% undi Cina ini adalah jauh lebih rendah berbanding dengan purata kebangsaan iaitu 95% undi Cina kepada PH di parlimen-parlimen lain.

Terdapat dua sebab mengapa ini terjadi di Tanjong Piai semasa PRU-14 yang lepas iaitu sama ada orang-orang Cina tidak mahu mengundi calon Melayu dari parti Bersatu di situ atau mereka suka calon BN.

Peratusan keluar mengundi Cina di Tanjong Piai pada PRU-14 yang lepas adalah lebih tinggi daripada Melayu iaitu 86% Cina berbanding 82% Melayu.

Jika PH meletak calon Melayu pada pilihanraya kecil kali ini, sokongan pengundi Melayu kepada PH tetap akan berkurang kerana sentimen semasa orang-orang Melayu terhadap PH yang negatif.

Juga, jika PH letak calon Melayu, PH tetap akan dapat sekurang-kurangnya 80% undi Cina kerana 80% pengundi Cina ini akan keluar beramai-ramai mengundi PH sebab mereka tidak mahu BN menang.

Namun jika mereka (PH) letak calon Melayu dan mendapat kurang daripada 95% undi Cina kali ini iaitu 80% undi Cina seperti PRU-14 yang lepas maka mereka akan kalah.

Sebaliknya jika PH letak calon Cina, sokongan Cina kepada PH akan bertambah.

Dan jika 95% pengundi Cina mengundi PH di Tanjong Piai seperti purata Kebangsaan maka mereka (PH) mungkin ada harapan untuk menang.

Penentuan sama ada calon Cina atau Melayu inilah yang menjadi dilemma dalaman PH sekarang, sebab itu sehingga kini mereka belum menentukan siapa calon PH di Tanjong Piai.

Pengerusi PH Dr. Mahathir dan orang-orang yang rapat dengannya tentunya sudah tahu hal dan fakta-fakta di atas.

Jika beliau letak calon Melayu dari partinya Bersatu dan Bersatu kalah lagi dalam pilihanraya kecil kali ini, maka hilanglah air mukanya lagi kepada parti-parti komponen dalam PH sebab sebagai Perdana Menteri partinya kerap kalah dalam pilihanraya.

Mahathir mungkin perlu tunduk kepada DAP lagi kali ini.

Dan jika Anwar Ibrahim bijak, dia tentunya tidak mahu Bersatu menang di Tanjong Piai sebab kemenangan Bersatu adalah kemenangan Mahathir, dan kemenangan Mahathir akan memanjangkan lagi tempoh Mahathir sebagai Perdana Menteri.

ISHAM JALIL
30 September 2019