BANGKOK: Wakil kerajaan Thailand yang mengadakan rundi­ngan damai dengan penduduk di selatan negara ini akan mempertimbangkan kertas cadangan menjadikan Jumaat sebagai hari cuti di seluruh negara.

Bangkok Post melaporkan, Jeneral Wallop Raksanoh berkata, penduduk Islam di wilayah selatan Thailand meminta kerajaan mengisytiharkan hari Jumaat sebagai cuti umum, selain menukar papan tanda perkampungan dalam bahasa Thailand, Melayu dan Inggeris.

Langkah itu bertujuan ‘membuka pintu’ kepada negara-negara ASEAN untuk ‘lebih mengenali’ wilayah selatan Thailand.

Wallop memaklumkan wakil penduduk juga meminta bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi untuk semua komuniti di wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla susulan ke­semuanya bersempadan dengan Malaysia.

Melayu Pattani merupakan bahasa yang digunakan 83 peratus penduduk di empat wilayah berkenaan.

Bangsa Melayu dilihat sebagai bangsa minoriti kerana majoriti masyarakat di Thailand berbangsa Siam dan berbahasa Thai.

Bangsa itu ‘menjadi penduduk majoriti dalam minoriti’, mereka menjadi penduduk majoriti di wilayah selatan Thai tetapi penduduk minoriti di tempat lain khususnya mereka yang tinggal di wilayah-wilayah lain.

Wallop mendedahkan kesemua usul itu selepas menghadiri mesyuarat di daerah Nong Chik, Pattani dengan wakil penduduk Islam dari keempat-empat wilayah terbabit.

Beliau menjelaskan mesyua­rat itu diadakan untuk mende­ngar serta menerima semua kertas cadangan yang diusulkan penduduk.

Dalam mesyuarat tersebut, wakil penduduk turut me­minta pihak yang berkelayakan dan pakar mengenai hukum Islam menguruskan hal ehwal berkaitan penggubalan undang-undang Islam dan pembangunan industri halal untuk wilayah berkenaan.

Sementara itu, pegawai tinggi tentera Thailand, Leftenan Je­neral Pornsak Poolsawat berkata, satu jawatan kuasa akan dibentuk untuk mengkaji kertas cadangan secara teliti.

https://www.utusan.com.my/luar-negara/2020/09/bahasa-melayu-bahasa-selatan-thai/