POLITIKNiat Rafizi dah baik, tetapi sosoknya terlalu keras kata Anwar

Niat Rafizi dah baik, tetapi sosoknya terlalu keras kata Anwar

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli kembali ke pentas politik dengan pendekatan yang dilihat ‘keras’.

Kempen Rafizi juga dilihat bersifat kritikal terhadap keputusan PKR dan Pakatan Harapan (PH) sejak 2018, menyebabkan beberapa ketegangan dalam gabungan itu.

Dalam temu bual pada 18 April, Presiden PKR Anwar Ibrahim percaya bahawa Rafizi, individu yang pernah menjadi orang kepercayaannya, berniat baik. Bagaimanapun, Anwar kelihatan tidak selesa dengan pendekatan konfrontasi Rafizi.

“Rafizi sosoknya agak keras,” kata Anwar, sebelum menambah, “tetapi boleh berunding, tak ada masalah.”

“Saya tak lihat semua kritikan itu (oleh Rafizi) kritikan terhadap presiden. Dia mahu melihat, menarik satu kaedah yang boleh membantu (PKR).

“(Tapi) Kalau tanya saya, bagi nasihat, dia tak payah umpamanya keras dalam semua hal terutamanya terhadap parti,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pencalonan Rafizi untuk jawatan timbalan presiden PKR. Rafizi akan berdepan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail dalam satu pertarungan satu lawan satu.

Rafizi adalah calon timbalan presiden PKR semasa pemilihan PKR pada 2018, namun kalah tipis kepada Azmin Ali, yang sejak itu telah berpaling tadah kepada Bersatu.

Selepas pemilihan itu, Rafizi menarik diri daripada aktiviti politik untuk fokus kepada perniagaan.

Anwar berkata, walaupun parti menghormati kebebasan bersuara, penyampaian itu penting demi menjaga kepentingan parti.

“Ada benda yang dianggap itu tidak tepat (oleh pengkritik). Umpamanya (isu) ‘khemah besar’. (Rafizi) tidak tepat sama sekali,” katanya.

Rafizi baru-baru ini mengkritik Amanah dan DAP kerana melobi PH untuk menggunakan pendekatan “khemah besar” menjelang pilihan raya umum akan datang, di mana gabungan itu akan mencari rakan baru untuk menentang BN.

Bagi Rafizi, pendekatan “khemah besar” adalah seperti mencari “khemah baru”, dan bukannya menyelesaikan masalah sedia ada.

Anwar berkata pendekatan “khemah besar” tidak pernah dibincangkan oleh pimpinan PKR dan dengan itu tidak relevan. Oleh itu, kata Anwar, Rafizi tidak seharusnya memusuhi sekutu PH.

Keputusan kolektif

Sementara itu, Anwar tidak bersetuju dengan pandangan anak perempuannya Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah bahawa PH akan kalah dua lagi pilihan raya umum sebelum mempunyai peluang yang baik untuk menang.

Bagi Anwar, pandangan pesimis Nurul Izzah akan menjadi peringatan kepada PH dan mendorong gabungan itu untuk bekerja lebih keras.

“Sebagai kolektif, sesiapa sahaja boleh bagi pendapat. Ini parti demokrasi. Keputusan dibuat secara kolektif. Nurul Izzah boleh cakap apa yang dia mahu.

“Kita boleh mengambil apa yang dia katakan sebagai amaran bahawa parti harus berubah dan membina semula. Kegagalan akan bermakna kalah (semasa pilihan raya).

“Pendapat beliau adalah berdasarkan pemerhatian pilihan raya Johor dan Melaka. Saya tidak bersetuju dengan ini,” katanya.

BN memenangi kedua-dua pilihan raya itu dengan majoriti besar, tidak lama selepas PH mengambil alih pada 2018.

Menurut Nurul Izzah, pengundi masih mempunyai tanggapan buruk terhadap PH atas kelemahannya sepanjang pemerintahan 22 bulan yang memuncak dengan kejatuhan pentadbiran PH melalui ‘Langkah Sheraton’.

https://www.malaysiakini.com/news/618661

......