LEBIH 500 nelayan di kawasan Parlimen Kimanis yang sebelum ini berdepan kesukaran mencari rezeki berikutan jeti pendaratan ikan dan bangsal perikanan yang usang, kini boleh menarik nafas lega apabila masalah itu bakal diselesaikan tidak lama lagi.

Penantian mereka selama lebih 15 tahun untuk memiliki prasarana lebih baik dan selamat itu bakal dilaksana menerusi peruntukan RM500,000 daripada kerajaan Persekutuan bagi membaik pulih dan membina baharu kemudahan berkenaan.

Pengerusi Pembangunan Hal Ehwal Nelayan Bongawan, Abu Bakar Jamil berkata peruntukan itu akan disalurkan dalam tempoh terdekat bagi mempertingkatkan prasarana di kawasan berkenaan, sekali gus memberi harapan baharu kepada golongan itu dalam meningkatkan hasil pendapatan mereka.

“Saya mewakili golongan nelayan khususnya di Bongawan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana mengagihkan peruntukan besar ini. Kami juga berharap kerajaan prihatin untuk mendalamkan sungai bagi mempermudahkan bot nelayan keluar ke laut,” katanya.

Abu Bakar ditemui Bernama selepas mewakili golongan nelayan kawasan berkenaan menerima replika cek peruntukan itu di sini, baru-baru ini.

Replika cek itu disampaikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub dan turut disaksikan Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Dr Daud Yusuf merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Bongawan.

Parlimen Kimanis mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) – Bongawan dan Membakut. Kawasan berkenaan unik kerana pekan Kimanis dan Bongawan terletak di sebelah selatan daerah Papar, manakala kawasan Membakut dalam kawasan pedalaman Beaufort.

Abu Bakar yang juga Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Papar, berkata pemberian peruntukan itu tepat pada masanya memandangkan terdapat kemudahan lain termasuk tempat penyimpanan blok ais agak kurang sedangkan golongan nelayan di kawasan itu begitu aktif menangkap hasil laut.

Beliau berkata hasil laut terutama ikan bilis yang diperoleh oleh nelayan itu ada yang dijual sehingga ke Labuan, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, malah turut menembusi pasaran Brunei.

Pada majlis itu, Salahuddin turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM90,000 kepada wakil nelayan di Kampung Nelayan Kampung Biau, Bongawan, bagi membaik pulih jeti usang di kampung berkenaan.

Selain itu, Salahuddin juga menyerahkan replika cek RM3 juta kepada PNK Papar, masing-masing RM1 juta Geran Projek Ekonomi dan RM2 juta Geran Pembelian Bangunan untuk tujuan perniagaan.

Salahuddin berkata kesemua peruntukan itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan kelangsungan program pembangunan dirancang kementerian untuk nelayan di kawasan berkenaan, sekali gus membantu meningkatkan hasil pendapatan golongan itu.

Sementara itu, Pengerusi PNK Papar Kamis Jad berkata pihaknya turut berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan mereka terhadap kepentingan sektor perikanan di daerah itu termasuk memastikan kebajikan nelayan.

Kamis menyifatkan peruntukan RM3 juta itu sebagai satu kejayaan besar persatuan berkenaan pada tahun ini kerana selepas hampir tujuh tahun menunggu, akhirnya mereka memperoleh dana itu untuk melonjakkan lagi pembangunan sosioekonomi nelayannya.

“Peruntukan ini antara lain akan digunakan bagi membeli sebuah bangunan untuk dijadikan pusat penjualan ikan segar. Kita akan ambil hasil nelayan dan dijual di situ. Ini akan membantu meningkatkan pendapatan mereka,” katanya. – BERNAMA

Nelayan Kimanis dapat peruntukan RM500,000