NASIONALNajib saran bantuan tunai setiap tiga bulan kepada B40, M40

Najib saran bantuan tunai setiap tiga bulan kepada B40, M40

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyarankan kepada kerajaan supaya memberi bantuan tunai kepada kumpulan B40 dan M40 setiap tiga bulan selagi kadar inflasi masih tinggi.

Katanya, ketika ini, kerajaan telah membuat penjimatan perbelanjaan selepas memansuhkan subsidi ayam dan telur.

Bagi meningkatkan pendapatan untuk menyalurkan bantuan tunai tersebut, kerajaan disaran menaikkan duti eksport dan cukai durian runtuh bagi sektor minyak sawit pada ketika dunia masih kekurangan bekalan.

Selain itu Najib berkata, kerajaan juga boleh menaikkan harga RON 95 sebanyak 10 sen atau 20 sen bagi mengurangkan subsidi minyak sekaligus menyalurkannya sebagai bantuan tunai kepada B40 dan M40.

“Penjimatan subsidi 10 sen atau 20 sen bersama hasil tambahan cukai sawit serta penjimatan dari tidak lagi memberi subsidi untuk ayam dan telur boleh disalurkan untuk diberi sebagai bantuan tunai kos sara hidup bagi golongan B40 dan T40 setiap tiga bulan selagi kadar inflasi masih tinggi.

“Orang T20 tidak kisah dan tak terkesan jika harga makanan tinggi tapi ianya merupakan tekanan yang besar bagi golongan B40 dan sebahagian besar golongan M40.

“Sudah tentu pemberian bantuan tunai kos sara hidup setiap tiga bulan akan melegakan tekanan kos makanan bagi golongan B40 dan M40,” kata Najib.

Cadangan menaikkan harga RON 95 sebanyak 10 sen atau 20 sen juga dibuat kerana kumpulan T20 yang sebelum ini menggunakan RON 97 telah beralih kepada minyak yang lebih murah.

Penurunan 65 peratus jualan RON 97 merupakan bukti bahawa sebahagian besar orang kaya dan orang yang berkemampuan telah bertukar minyak ke RON95 untuk menikmati subsidi kerajaan.

“Ibarat orang kaya ambil makanan dari food bank. Hari ini, kerajaan memberi subsidi sekitar RM2.50 bagi setiap satu liter RON 95 yang dijual pada harga RM2.05.

“Bermaksud jika seorang dari golongan T20 mengisi 50 liter minyak RON 95 bagi kereta mewahnya, kerajaan sebenarnya memberi subsidi sebanyak RM125 setiap kali orang kaya isi minyak.

“Sekiranya orang kaya ini isi minyak tiga kali sebulan bermaksud kerajaan memberi bantuan RM4,500 setahun bagi orang kaya – lagi tinggi berbanding BR1M kepada B40 dan M40,” kata Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu bagaimanapun berkata, dengan kadar inflasi tinggi yang dialami di seluruh dunia adalah tidak sesuai untuk kerajaan menarik subsidi minyak secara sepenuhnya.

Tambahnya, sistem subsidi pukal yang diamalkan di negara ini lebih memanfaatkan orang kaya.

Menurut Najib, kerajaan Barisan Nasional (BN) pernah menyelesaikan ketidakadilan tersebut dengan mengapungkan harga minyak.

Penjimatan dari pengurangan subsidi minyak disalurkan semula kepada rakyat berpendapatan sederhana dan rendah melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia.

Bantuan itu dinaikkan dan diperluaskan jumlah penerima dari RM500 ke RM1,200 dan akhirnya ke RM2,000 setahun pada Pilihan Raya Umum ke-14. – MalaysiaGazette

......