Foto - Al Hijrah Online

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa menggesa kumpulan pendidikan Cina Dong Jiao Zong menangguhkan kongres membantah pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular pada Sabtu ini supaya dialog dapat diadakan berhubung isu itu.

“Eloklah dibawa bincang dan kembali ke meja rundingan.

“Semua kita perlu mengambil tanggungjawab untuk mencapai kata persetujuan demi kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dong Zong sebelum ini dilaporkan akan menganjurkan kongres pada 28 Dis ini bagi membantah pengenalan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular mulai tahun depan kerana didakwa bertentangan keputusan Kabinet serta Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran (DSKP).

Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad kemudiannya berkata, tindakan Dong Zong menganjurkan kongres itu akan berdepan “reaksi” orang Melayu untuk mengadakan kongres mereka dan bercakap mengenai penutupan sekolah Cina.

Semalam, Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor dilaporkan berkata, kongres pada Sabtu ini ialah mesyuarat perundingan untuk mencari penyelesaian, bukannya perhimpunan anti-Jawi atau anti-Melayu.

Semalam, Dong Jiao Zong mengalu-alukan gesaan Presiden PKR, Anwar Ibrahim untuk semua pihak kembali ke ruang dialog bagi membincangkan isu tulisan Jawi di sekolah vernakular, tetapi ia tidak menyatakan sama ada kongres pada 28 Dis ini akan diteruskan atau sebaliknya.

Katanya, mereka sedia berbincang dengan semua pihak, termasuk Menteri Pendidikan, Maszlee Malik dan pertubuhan lain untuk menyelesaikan isu itu secara rasional sebelum atau selepas Sabtu ini.

Hari ini, Mujahid yang juga naib presiden Amanah mempersoalkan kenapa isu itu masih berterusan selepas mahkamah memutuskan pengajaran tulisan Jawi tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Logik pembelajaran Jawi tersebut yang dikatakan mahu mengislamkan pelajar bukan Islam sangat terhad sekadar untuk memperkenalkan warisan budaya dan sejarah negara. Mengapakah Jawi dijadikan masalah negara?

“Pihak yang menentang sepatutnya bersikap lebih terbuka dengan menghormati sentimen kerana tindakan mengadakan bantahan melalui kongres dan sebagainya akan mendapat reaksi negatif daripada yang menyokongnya.”

Pada 28 Nov lalu, Mahkamah Tinggi George Town memutuskan Jawi boleh diajar di sekolah Cina dan Tamil kerana ia sebahagian daripada bahasa Malaysia, selepas menolak permohonan Gerakan yang mendakwa pengajaran tulisan itu boleh membawa persepsi Islam disebarkan kepada pelajar agama lain, seperti yang diajar dalam kelas Pengajian Islam.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Amarjit Serjit Singh dilaporkan berkata, pelaksanaan kelas Jawi tidak bertentangan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 dan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

FMT