POLITIKMuhyiddin pesan dekat anak muda, janganlah kecewa dengan politik hari ini

Muhyiddin pesan dekat anak muda, janganlah kecewa dengan politik hari ini

Bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meminta golongan belia tidak kecewa dengan senario politik semasa kerana ia merupakan suatu proses untuk membangunkan sebuah negara yang lebih baik.

Beliau berkata, krisis dalam landskap politik yang sedang berlaku adalah keadaan yang tidak dapat dielakkan serta kenyataan yang harus diterima dan ia bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah negara lain.

“Kalau untuk anak muda, pandangan saya ialah menerima ini sebagai satu kenyataan tetapi jangan rasa kecewa. Ia sebagai satu proses untuk kita mempelajari bagaimana sebuah negara seperti Malaysia dapat kita majukan dan bangunkan ke hadapan.

“Ini adalah satu perkara yang tidak boleh kita elakkan, saya kira bukan satu perkara yang baru untuk Malaysia banyak negara melalui proses yang hampir serupa,” katanya dalam satu temu bual di Garasi TV pada Selasa.

Jelasnya, keadaan politik sekarang tidak akan kekal selama-lamanya kerana golongan belia akan bangkit dan membawa kembali politik sihat di negara ini berdasarkan prinsip dan etika.

Menurutnya, golongan muda perlu menjadikan situasi yang sedang atau yang telah berlaku sebagai satu pengajaran untuk menghasilkan cara yang lebih baik bagi membentuk politik sihat.

“Apa yang harus mereka lakukan, yang lepas itu jadikan satu pengajaran untuk membina satu cara yang lebih baik, politik yang lebih sihat, sederhana dan bermaruah,” katanya.

Beliau juga berkata, golongan muda juga boleh menceburi bidang politik dalam menentukan kerajaan masa depan, justeru menurutnya, mereka yang mempunyai potensi dalam kepimpinan perlu diketengahkan.

“Bagi saya ada usaha mesti dibuat untuk menyusun lapis, untuk membimbing dalam satu tahap bila mana mereka (golongan muda) ini sudah layak, beri peluang kepada mereka.

“Pilihan raya di Melaka contohnya, saya fikir anak muda dulu bukan saya fikir orang lama dulu, lagi pun kalau mereka sesuai kenapa mereka kita tidak ketengahkan untuk dijadikan calon,” tambahnya.

Anak muda jangan kecewa dengan politik hari ini, kata Muhyiddin

......