Kisah kebaikan seorang penunggang motosikal p-kelui terhadap pelanggannya, termasuk menolak ganjaran atas bantuan yang diberikan, mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

Dua minggu lalu, pengguna Grab Food Vijaya Kasinathan tersalah membuat pesanan untuk dihantar ke pejabatnya di Cheras, Kuala Lumpur. Sedangkan ketika itu dia sudah berada di rumahnya di Puchong, Selangor – kira-kira 20 kilometer daripada tempat itu.

Ketika sedar kesilapan itu, dia sedar sudah terlambat untuk membuat pertukaran tempat penghantaran.

Dia kemudian menghubungi penghantar makanan, Muhammad Azrul Abu Hassan, 25 dan memberitahunya bahawa dia boleh mengambil makanan tersebut untuk dirinya.

“Saya minta dia (Azrul) simpan sahaja makanan untuk dirinya sendiri namun Azrul berkata dia serba salah dan jika saya tiada juadah untuk dimakan dia akan menghantar pesanan itu secara percuma hingga ke Puchong.

“Saya tidak pernah menjangkakan layanan baik daripada pemuda ini, Saya sangat kagum,” tulisnya dalam satu hantaran yang tular di LinkedIn, Ahad lalu.

Sebagai tanda terima kasih, Vijaya berkata, dia memberikan sedikit imbuhan di dalam sampul, yang diambil Azrul tanpa melihat isinya.

Namun, apabila Azrul menyedari wang yang diterima sebanyak RM100, dia berpatah balik.

“Azrul kembali ke rumah saya dengan bergenang air mata, dia kata ‘puan beri banyak sangat,” kata Vijaya.

“Saya beritahu dia, ‘Anak muda, tindakan yang kamu lakukan tadi tak ternilai harganya. Harap kamu terima pemberian ini… belilah apa-apa untuk diri kamu.”

‘Tak sampai hati terima imbuhan tinggi’

Ketika dihubungi Malaysiakini, Azrul yang menetap di Kuala Lumpur berkata, dia memilih untuk menempuh perjalanan selama 30 minit ke Puchong kerana kasihan terhadap pelanggannya yang tidak mempunyai makanan.

Tambahnya, ketika itu hari sudah lewat malam, kebanyakan kedai telahpun tutup disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Apabila sampai di rumah Puan Vijaya, saya disambut baik oleh keluarganya, malah ibu Puan Vijaya sendiri ingin berjumpa dengan saya untuk berterima kasih,” katanya.

Azrul berkata dia membuka sampul itu apabila sampai di stesen minyak dan berfikir untuk menggunakan wang tersebut bagi mengisi tangki motosikalnya.

“Saya buka sampul itu, ingat boleh guna kalau RM5 ke RM10, sekali jumlahnya besar.

“Saya simpan semula lalu berpatah balik ke rumah Puan Vijaya,” katanya.

Azrul berkata memang niatnya ingin membantu dan tidak sampai hati menerima wang itu kerana Vijaya telah menanggung kos penghantaran.

Vijaya menyakinkan Azrul untuk menerima imbuhan itu dengan mengatakan dia boleh memberikan wang tersebut kepada anaknya, kata Azrul.

Semasa berbual dengan Vijaya, Azrul berkata wanita itu turut menawarkan bantuan sekiranya dia mengalami sebarang kesusahan pada masa akan datang.

Berasa tersentuh dengan kejadian itu, Azrul sempat bergambar bersama ibu Vijaya sebagai tanda kenangan.

Bantu satu sama lain

Ditanya respon terhadap pujian oleh pengguna media sosial, Azrul berkata dia tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada tindakannya.

“Saya turut bersyukur dipertemukan dengan orang yang baik seperti Puan Vijaya,” katanya.

Jelas Azrul, beliau percaya nilai saling bantu-membantu harus dipupuk dalam segenap lapisan masyarakat walaupun berbeza bangsa dan agama.

“Saya juga berharap rakan-rakan penunggung motosikal p-kelui yang lain, dapat menjalankan tugas dengan amanah dan ikhlas,” katanya.

“Bawa motosikal berhati-hati dan sentiasa menjaga diri.”

Ramai pengguna LinkedIn memuji tindakan Azrul dan Vijaya yang saling membantu antara satu sama lain.

“Kisah ini membuktikan sifat kemanusiaan masih lagi wujud walaupun dunia semakin tenat. Usaha yang murni daripada kedua belah pihak,” komen pengguna LinkedIn, Sheela Pillai.

Seorang lagi pengguna LinkedIn, Rayment Quah Eng Tong berterima kasih kepada Vijaya atas perkongsian tersebut dan berkata “kisah ini harus menjadi teladan untuk disebarkan kepada dunia”.

Sementara itu, pengguna Twitter juga rata-ratanya memberikan kata-kata positif atas tindakan Azrul dan meminta pihak Grab memberikan ganjaran kepada pemuda itu.

“Keihsanan. Hanya itu sahaja diperlukan. Moga Allah merahmati perjalanannya. Harap Grab dapat berikan penghargaan kepada Azrul.”

“Pemuda yang jujur. Jarang kita jumpa pada zaman sekarang. Syabas Azrul,” kata seorang pengguna Twitter.

Azrul berkata, pihak Grab juga telah menghubunginya dengan menzahirkan rasa bangga dan menyatakan penghargaan atas budi baiknya.

https://www.malaysiakini.com/news/576451