NASIONALMengapa guna dana KWAN, Menteri Kewangan PN beri 9 alasan utama....

Mengapa guna dana KWAN, Menteri Kewangan PN beri 9 alasan utama….

MENTERI KEWANGAN Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberikan sembilan alasan mengapa Kerajaan Perikatan Nasional mahu menggunakan Dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN).

Alasan itu termasuk penggunaannya menepati objektif penubuhan dana itu sejak 33 tahun lalu iaitu untuk melindungi “generasi masa depan” yang ditakrifkan sebagai generasi ketika ini.

Tambahnya hutang, pinjaman dan liabiliti Kerajaan melebihi RM1 trillion ketika ini menyebabkan dana itu perlu digunakan sekarang.

Berikut 9 alasan tersebut:
⠀⠀
1. Krisis yang kita hadapi ini bukanlah krisis ekonomi seperti tahun 1998 dan 2008. Ia adalah krisis kesihatan dan ekonomi secara serentak. ⠀⠀

2. Vaksinasi adalah kunci utama kepada pemulihan ekonomi dan tiada lagi langkah terbaik untuk melindungi rakyat dengan memastikan imunisasi kelompok melalui vaksinasi.⠀⠀

3. Objektif KWAN apabila ditubuhkan 33 tahun dahulu adalah untuk melindungi “generasi masa depan”. Siapa lagi “generasi masa depan” itu jika bukan kita, di saat mengharungi cabaran COVID-19 yang mungkin krisis paling getir dan serius di dalam sejarah negara kita? Program vaksinasi yang berkesan perlu diutamakan bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.⠀⠀

4. Jika tidak digunakan sekarang, bilakah masa yang lebih sesuai untuk menggunakan Dana KWAN? Tambahan pula, Dana KWAN pernah digunakan sebelum ini pada tahun 1998 untuk pembangunan Projek Paya lndah Wetland. Jika ia boleh digunakan untuk projek pembangunan Paya Indah Wetlands, bukankah keperluan untuk menggunakannya bagi program vaksinasi yang dapat menjamin masa depan generasi akan datang lebih mendesak? ⠀⠀
⠀⠀
5. Kerajaan telah mewarisi hutang, pinjaman dan liabiliti Kerajaan melebihi RM1 trillion, termasuk jaminan pinjaman tanpa sumber pembayaran balik seperti hutang 1MDB, 1MDB Energy, SRC International dan sebagainya.⠀⠀

6. Kerajaan juga mewaisi liabiliti lain seperti hutang Private Finance Initiative (PFI) RM48 bilion ekoran pendekatan terdahulu untuk melaksanakan perbelanjaan secara off-budget tanpa diperuntukkan dalam belanjawan tahunan. Atas prinsip ketelusan, Kerajaan sekarang tidak akan mengulangi amalan perbelanjaan secara off-budget ini.⠀⠀

7. Komitmen pembayaran balik liabiliti tersebut dianggarkan > RM20 bilion setahun untuk 5 tahun akan datang, atau sekurang-kurangnya RM100 bilion! RM100 bilion ini cukup untuk membayar kos vaksin sebanyak 20 kali ganda, atau lebih 8 kali ganda bantuan langsung untuk B40, berkali-kali ganda Geran Khas Prihatin dan subsidi upah, dan sokongan lebih padu kepada petugas barisan hadapan kita!⠀⠀

8. Jadi, Kerajaan bukan hanya menghadapi ruang fiskal terhad dalam menangani krisis COVID-19, tetapi kita juga perlu memenuhi obligasi hutang legasi yang tidak produktif serta tanggungan yang dibuat secara off-budget sebelum ini. ⠀⠀

9. Tambahan pula, kita tidak sepatutnya membebankan generasi hadapan dengan beban hutang yang berlebihan dan tidak wajar. Kerajaan bertanggungjawab menjaga generasi masa kini, untuk memastikan generasi akan datang dapat mengecapi kemakmuran.-SM⠀⠀

......