Utama NASIONAL Maszlee ramal Bersatu ‘parti satu musim pilihan raya’ di Johor

Maszlee ramal Bersatu ‘parti satu musim pilihan raya’ di Johor

48
0

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menjadi ‘parti satu musim pilihan raya’ di Johor jika terus berganding dengan Perikatan Nasional (PN).

Itu pandangan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik.

Ini kerana faktor utama Bersatu menang pada pilihan raya umum lepas adalah hasil undi bukan Melayu.

“Bersatu berjaya meraih undi sebesar itu kerana sumbangan undi bukan Melayu sebanyak 133,550 berbanding undi Melayu yang hanya sebanyak 81,150,” katanya di Facebook hari ini.

Menurut Maszlee, berdasarkan bilangan undi, tahap sokongan orang Melayu kepada Bersatu hanya 29.6 peratus sahaja.

Dengan penyertaan Bersatu ke dalam PN, Johor bukan lagi milik Bersatu seperti semasa ia berada dalam Pakatan Harapan (PH).

“Bukan sekadar menteri besar Johor bukan dari Bersatu malah Bersatu menjadi pasif dan tidak sedominan UMNO.

“Agak menarik, UMNO yang dahulunya kalah dan ditolak rakyat Johor kini kembali memerintah Johor dengan pengorbanan besar dari Bersatu yang memberikan segalanya kepada UMNO,” ujarnya lagi.

Maszlee juga mempersoalkan sama ada Bersatu rela “melukut di tepi gantang” dengan UMNO selamanya parti pemerintah di Johor.

“Apakah ini juga harapan ahli Bersatu di Johor ketika mereka meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu pada awal penubuhannya dulu?” soalnya lagi.

Beliau juga berpandangan cabaran besar bagi Bersatu menentukan kedudukan kerusi dalam PRU-15 kelak.

Ini kerana Bersatu sudah tentu mengharapkan kerusi ihsan UMNO dan Pas untuk bertanding sekurang-kurangnya 11 kerusi.

“Tanggapan mereka pertandingan satu lawan satu bertembung PH, Bersatu puak Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memperoleh kemenangan mudah.

“Namun ia tidak semudah itu. Situasinya dari 11 kerusi Bersatu kini tiga kerusi merupakan kerusi tradisi UMNO,” katanya.

Maszlee mengingatkan PPBM tewas di tangan Umno di 3 kerusi itu pada PRU-14 dan sekalipun menang pada PRU-15 nanti, ia pada dasarnya kerusi UMNO.

Manakala bagi lapan kerusi yang lain, beliau hanya meramalkan satu sahaja kerusi yang “agak selamat” untuk Bersatu iaitu Bukit Kepong.

“Tiga sudah pasti kalah,terutamanya kerusi Puteri Wangsa kerana ianya kawasan campur yang mana Bersatu memenanginya kerana pengundi bukan Melayu yang menyokong PH.

“Manakala empat lagi akan kalah ataupun menang tipis berdasarkan demografi bukan Melayu yang besar, termasuk kerusi Gambir milik perdana menteri,” ramalnya lagi.

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini