DUNIAMasak!! EURO 2020 lubuk gelombang baharu

Masak!! EURO 2020 lubuk gelombang baharu

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melahirkan kebimbangan berlakunya gelombang baharu jangkitan Covid-19 susulan pelonggaran perintah berkurung di beberapa negara penganjur temasya bola sepak Euro 2020 yang sedang berlangsung.

Menurut Pengarah Eksekutif di Pejabat Wilayah WHO Eropah, Robb Butler berkata, peningkatan kes positif yang ketara sudah mula dikesan di beberapa lokasi terlibat dengan penganjuran perlawanan bola sepak berkenaan.

“WHO sangat prihatin dengan keputusan pelonggaran sekatan di beberapa negara tuan rumah.

“Beberapa stadium yang menjadi tuan rumah kejohanan kini sudah meningkatkan jumlah penonton yang dibenarkan,” ,” tulis Butler dalam satu kenyataan media melalui e-mel kepada AFP.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu tidak merujuk kepada mana-mana bandar tertentu namun baru-baru ini, Britain mengumumkan bahawa lebih 60,000 penonton akan dibenarkan di stadium Wembley di London untuk pusingan akhir dan akhir kejohanan.

Pada asalnya, stadium hanya bercadang membenarkan jumlah penonton kepada 40,000 orang.

UEFA juga telah mengadakan perbincangan dengan kerajaan Britain agar mengetatkan sekatan perjalanan yang berkaitan Covid-19 agar membolehkan sehingga 2,500 tetamu kenamaan menghadiri perlawanan akhir pada 11 Julai.

Di beberapa bandar raya tuan rumah, kes Covid-19 telah meningkat di kawasan di mana perlawanan akan diadakan.

Sebanyak 29 kes telah dikesan berkaitan dengan perlawanan Euro 2020 yang berlangsung di Copenhagen, Denmark.

Jangkitan yang dilaporkan melibatkan mereka yang sudah dijangkiti semasa perlawanan atau dijangkiti semasa permainan, demikian menurut pegawai kesihatan tempatan, Anette Lykke Petri.

“Secara teori, mungkin lebih ramai orang yang sudah dijangkiti berbanding yang sempat dikesan,” tambahnya.

Di Denmark, penonton yang dibenarkan meningkat menjadi 25,000 daripada 16,000 baru-baru ini menerusi perlawanan antara negara itu menentang Belgium.

Susulan itu, WHO Eropah menggesa bandar-bandar yang berdekatan untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak penyebaran jangkitan.

Meskipun keadaan di kebanyakan negara seluruh Eropah telah bertambah baik dalam dua bulan terakhir, WHO tetap mengingatkan agar masyarakat untuk terus berhati-hati.

“Walaupun kita telah mencapai satu perkembangan positif namun ia belum cukup baik,” Pengarah Wilayah WHO Eropah,Hans Kluge. – AFP

......