Gambar - The Star

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berkata pengundi Melayu tidak yakin Anwar Ibrahim boleh memperjuangkan hak mereka, dan presiden PKR itu dilihat lemah berbanding Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, pengundi Melayu suka gaya kepimpinan tegas Mahathir terutama dalam isu berkaitan kaum dan agama.

“Mereka percaya Mahathir lebih kuat daripada Anwar dalam hal melindungi hak orang Melayu dan Islam sebagai agama rasmi. Di mata orang Melayu, Mahathir boleh tahan tekanan DAP, contohnya.

“Tetapi bagi Anwar, orang Melayu meragui keberanian beliau menepis tekanan DAP dalam hal kaum dan agama,” katanya kepada FMT.

Azmi Hassan.

Azmi berkata desakan DAP supaya Anwar jadi perdana menteri seterusnya memberi persepsi parti itu lebih sukakan Anwar daripada Mahathir, menimbulkan keraguan dalam kalangan orang Melayu mengenai motif sebenar parti itu.

“Persepsinya adalah Anwar lebih mudah mendekati keperluan-keperluan DAP berbanding Mahathir, dan dengan itu, persepsi negatif bahawa Anwar bawah pengaruh DAP,” katanya.

Kajian Merdeka Center mendedahkan majoriti responden Cina dan India memilih Anwar dan lebih ramai orang Melayu menyokong Mahathir.

Tinjauan mendapati sokongan orang Cina dan India pada Mahathir merosot tahun lalu sementara sokongan kepada Anwar meningkat dengan mendadak. Sementara itu, sokongan orang Melayu kepada Mahathir meningkat dan merosot untuk Anwar.

Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya berkata faktor terbesar adalah peralihan kuasa Mahathir kepada Anwar.

Awang Azman Awang Pawi.

Beliau berkata rancangan peralihan kuasa PH bergelut dengan “politik persepsi”, yang menghakis sokongan orang Melayu kepada Anwar sebagai perdana menteri seterusnya.

“Apabila Mahathir dilantik sebagai calon perdana menteri PH, BN dan PAS tidak sokong kerana mereka pembangkang.

“Hanya bila Mahathir jadi perdana menteri PAS tunduk, kerana mereka tahu perdana menteri berkuasa ke atas agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan Lembaga Hasil Dalam Negeri. Ini menakutkan PAS dan Umno,” katanya, membayangkan naratif itu boleh berubah apabila Anwar jadi perdana menteri.

Dua penganalisis itu tidak terkejut populariti Mahathir merosot tahun lalu, mengatakan isu ekonomi dan sosial meresahkan rakyat.

Bagaimanapun, Azmi berkata Mahathir tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana ramai menteri mencemar reputasi Kabinet dan perdana menteri.

Beliau berkata gaya tadbir urus keras Mahathir, walaupun digemari orang Melayu, memberi persepsi beliau di sebalik isu-isu yang meningkatkan ketegangan kaum.

“Tidak kira sama ada masalah itu sekitar pendidikan, ekonomi atau lain-lain, orang awam cenderung mengaitkannya dengan faktor perkauman walaupun tidak ada kena mengena,” katanya.

FMT