Foto - Cincainews.com

Tiga hari selepas “mengembalikan semula” jawatan menteri pendidikan kepada Dr Mahathir Mohamad, muncul laporan mendakwa langkah diambil Dr Maszlee Malik itu berpunca daripada kehendak perdana menteri.

Tindakan tersebut lapor portal The Malaysian Insight, dibuat selepas Mahathir kecewa dengan Maszlee yang dikatakan selalu membuat keputusan yang menyukarkan kerajaan.

Kenyataan itu dibuat melalui sepucuk surat – bertarikh 27 Dis 2019 – daripada Mahathir kepada Maszlee dan dihantar ke pejabat ahli parlimen Simpang Renggam itu pada hari yang sama.

Maslzee ketika itu dikatakan sedang bercuti bersama keluarganya di AS.

Menyifatkan ia sebagai surat 17 perenggan, laporan tersebut mendakwa Maszlee gagal mengikuti arahan kabinet berhubung beberapa isu seperti pengajaran tulisan Jawi, pembekalan perkhidmatan internet di sekolah, dan program sarapan percuma di sekolah rendah yang bermula hujung bulan ini.

Menurut laporan itu lagi, Mahathir mengakhiri surat tersebut dengan menyuarakan pandangan “sudah tiba masanya untuk Yang Berhormat (Maszlee) mengundurkan diri dari kabinet.”

Bagaimanapun, Malaysiakini tidak dapat mengesahkan kesahihan laporan tersebut dan sedang cuba menghubungi Maszlee untuk mendapatkan maklum balas.

Tekanan luar, dalam

Khamis lalu, Maszlee dalam sidang media selepas pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan untuk mengembalikan jawatan sebagai menteri pendidikan kepada Mahathir, berkuat kuasa 3 Januari lalu.

Untuk rekod, selepas membentuk kerajaan pada Mei tahun lalu, Mahathir asalnya memegang portfolio berkenaan sebelum dikritik ramai kerana bercanggah dengan manifesto PH.

Jawatan tersebut kemudian diserahkan kepada Maszlee.

Pada 3 Jan lalu bekas perdana menteri Najib Razak membuat dakwaan bahawa Maszlee melepaskan jawatan tersebut “secara paksaan” dan ia membuktikan PH berdepan masalah dalaman yang parah.

Baca selanjutnya Malaysiakini

https://www.malaysiakini.com/news/505951