POLITIKMahathir kembali!! Beri amaran perubahan iklim, kritik kerajaan yang tidak cekap

Mahathir kembali!! Beri amaran perubahan iklim, kritik kerajaan yang tidak cekap

Dr Mahathir Mohamad dalam perutusan tahun barunya memberi amaran mengenai perubahan iklim dan ketidakcekapan kerajaan dalam menangani kesannya.

Bekas perdana menteri itu berkata walaupun setiap tahun baru menjanjikan tahun yang lebih baik daripada tahun lepas, namun kesan pemanasan global menjadikan keadaan tidak dapat diramalkan.

“Tetapi kita perlu ingat bahawa kita berada di masa iklim berubah dan tidak tentu hala.

“Suhu meningkat tinggi dan hujan luar biasa lebatnya. Dan banjir yang teruk pun berlaku,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya Malaysia sebenarnya dilindungi daripada kesan cuaca ekstrem seperti taufan oleh Filipina yang menghadapi kesannya dengan lebih dahsyat.

“Kita bersyukur dengan perlindungan ini. Yang perlu kita beri perhatian ialah bagaimana kita tangani banjir besar ini.

“Sepatutnya kerajaanlah yang memainkan peranan yang utama. Malangnya ternampak Kerajaan tidak ada idea untuk menolong rakyat, bahkan tidak bersikap prihatin terhadap malapetaka yang menimpa rakyat.

“Demikianlah sikap tidak bertanggungjawab anggota kerajaan sehingga sebilangan dari mereka bercuti di luar negara dan yang berada di negeri tidak turun segera untuk bantu rakyat.

“Yang turun pula lebih utamakan bergambar untuk dilapor dalam media,” katanya.

Ahli parlimen Langkawi itu juga berkata ketika banjir baru-baru ini masyarakat telah saling membantu antara satu sama lain dalam berbagai bentuk.

“Kita tidak perlu pengalaman tetapi apabila malapetaka berlaku kita cuba tolong dan redakan keadaan,” jelasnya.

Menurutnya, kerajaan tidak cekap menangani bencana kerana dakwaan rasuah dalam bentuk memberi jawatan sebagai imbuhan untuk mendapatkan sokongan.

“Ramai yang mengadu tertekan dengan tuntutan rasuah. Dan kita dengar pula yang dipertanggungjawab membanteras rasuah disyaki terlibat dengan rasuah,” dakwanya.

Kerajaan telah menerima kritikan hebat kerana tindak balas yang didakwa kurang memberangsangkan terhadap banjir besar di Lembah Klang dua minggu lalu.

Banjir itu dikaitkan dengan ribut Lekukan Tropika 29W, yang mendarat berhampiran Kuantan pada 17 Dis dan menyebabkan banjir teruk di seluruh Semenanjung Malaysia Tengah. MetMalaysia tidak menyebut tentang fenomena cuaca yang akan datang kerana ia berkembang selama beberapa hari di Laut China Selatan.

Banjir selanjutnya berlaku sekarang apabila musim tengkujuh melanda pantai timur Semenanjung Malaysia

Malaysiakini https://www.malaysiakini.com/news/605230

......