NASIONALLim Guan Eng kata bank kaut keuntungan besar, kecualikanlah faedah semasa moratorium

Lim Guan Eng kata bank kaut keuntungan besar, kecualikanlah faedah semasa moratorium

Bank-bank yang memperoleh keuntungan besar akhir-akhir ini sepatutnya berkongsi nasib baik mereka dengan pelanggan dengan mengecualikan bayaran faedah dalam tempoh moratorium pinjaman, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Katanya, mengambil faedah dan mengaut keuntungan daripada peminjam yang mengalami kesulitan bukan cara “Keluarga Malaysia” seperti yang dianjurkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Bekas menteri kewangan itu berkata, industri perbankan mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak RM32.3 bilion pada 2019 dan lebih RM23 bilion pada 2020 walaupun dengan kemelesetan ekonomi.

Keuntungan meningkat lagi pada separuh pertama tahun ini, tambahnya.

“Industri perbankan dijangka menambah keuntungan mereka secara ketara tahun ini berbanding 2019, seperti yang ditunjukkan oleh keuntungan bersih Malayan Banking Bhd (Maybank) untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2021 (yang) meningkat dua kali ganda kepada RM1.96 bilion daripada RM941.73 juta tahun lalu.

“Maybank mencatatkan keuntungan bersih RM2.39 bilion pada suku pertama 2021 berbanding RM2.05 bilion tahun lalu,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Public Bank melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM1.38 bilion bagi suku kedua tahun ini berbanding RM1 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama pada 2020.

Lim berkata, dengan banyak yang kecundang akibat impak wabak Covid-19, “pemenang” seperti bank-bank perlu membantu mereka yang kehilangan pekerjaan dan perniagaan, selain mereka yang sedang berusaha mencari kerja dan meneruskan kehidupan.

Sementara itu, Lim juga merujuk kepada laporan Bloomberg mengenai ekonomi terbesar dunia yang ditinjau bagi “Covid Resilience Ranking” bulanannya, di mana Malaysia berada di tempat terakhir antara 53 negara tersenarai.

Laporan berkenaan menjadi penanda aras kemampuan negara untuk mewujudkan sedikit rasa normal semasa wabak.

“Antara sebab Malaysia berada di kedudukan terakhir adalah jangkitan Covid-19 per kapitanya kini antara yang tertinggi di dunia walaupun 61.1% penduduk dewasa sudah diberi vaksin sepenuhnya dengan dua dos.

“Ini diburukkan lagi dengan pertumbuhan ekonomi yang tidak bermaya sekitar 4% pada 2021 yang menidakkan pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) yang terlalu optimis sebanyak 7.5% dalam Belanjawan 2021,” kata Lim.

Mengenai pelantikan Jemaah Menteri baharu yang disifatkannya sebagai “kitar semula”, Lim berkata, sangat penting agar para menteri tidak melupakan pengajaran masa lalu supaya tidak mengulangi kegagalan Perdana Menteri terdahulu.

“Semua orang tahu kesilapan yang berlaku walaupun terdapat perintah kawalan pergerakan (PKP) bersiri dan Proklamasi Darurat.

“Kerajaan sekarang perlu menghentikan amalan dua darjat dalam penguatkuasaan, dasar yang berubah-ubah, pusingan U dalam SOP (prosedur operasi standard) dan kegagalan untuk melakukan vaksinasi lebih awal,” katanya.

Tambahnya, perhatian segera perlu diberikan untuk menyelamatkan mata pencarian rakyat dan perniagaan yang musnah akibat kemelesetan ekonomi semasa.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/28/bank-kaut-keuntungan-besar-patut-kecualikan-faedah-semasa-moratorium-kata-guan-eng/

......