PUTRAJAYA: Naib Presiden PPBM, Ab Rashid Ab Rahman menasihatkan parti menurunkan calon tempatan untuk mempertahankan kerusi Tanjung Piai dalam pilihan raya kecil pertengahan bulan depan.

Beliau berkata PPBM harus meletakkan calon tempatan dan dikenali di kawasan tersebut yang kini kosongan ekoran kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lalu.

“Jangan ambil orang luar. Kawasan itu majoriti masyarakat Melayu dan kerana keadaan negara kita pemilihan adalah berasas kaum.

Tanjung Piai pernah menjadi medan tempur antara MCA dan DAP tetapi DAP beri laluan kepada PPBM pada pilihan raya umum lepas.

Md Farid yang pertama kali bertanding menewaskan penyandang ketika itu Wee Jeck Seng dari MCA dan Nordin Othman dari PAS. Beliau mencatatkan majoriti 524 undi.

Seramai 57% pengundi di Tanjung Piai adalah Melayu, diikuti Cina (42%), dan India (1%).

Dalam pada itu, Rashid berkata rakyat perlu memahami dan bersabar untuk melihat perubahan yang sedang dibawah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata PH mengambil alih tampuk pemerintahan dalam keadaan yang amat tidak baik.

“Pertama kali kerajaan ini mengambil alih pemerintahan dalam keadaan yang amat tidak sesuai dan tidak baik.

“Kewangan hancur dan keadaan pentadbiran kucar kacir. Jadi sekarang dalam proses pembaikan dan bagi Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad peluang (untuk mentadbir),” kata beliau.

FMT