IPOH – Polis akan menyerahkan laporan kimia dan perubatan berhubung kes seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak yang dikaitkan dengan tuduhan merogol seorang pembantu rumahnya kepada Pengarah Pendakwaan Negeri hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Razarudin Husain berkata pihaknya menerima laporan itu daripada Jabatan Kimia pada Isnin lepas.

“Laporan kimia dan perubatan daripada Jabatan Kimia dan hospital telah kita peroleh dan siasatan telah dibawa kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Razarudin berkata laporan perubatan itu kemudian akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara di Putrajaya untuk tindakan dan keputusan seterusnya.

Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung, Paul Yong Choo Kiong di rumah majikannya itu di Meru.
— BERNAMA

https://pakdin.my/tag/paul-yong