NASIONALLanjut PKP 2.0 tidak kurangkan kes Covid-19, kata pakar perubatan

Lanjut PKP 2.0 tidak kurangkan kes Covid-19, kata pakar perubatan

PETALING JAYA: Pakar kesihatan berkata pusingan kedua perintah kawalan pergerakan (PKP) gagal menurunkan jumlah kes Covid-19 sekali gus mendesak Putrajaya supaya tidak melanjutkan sekatan separuh yang berakhir pada 18 Feb ini.

Kedua-duanya, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr M Subramaniam dan bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, PKP 2.0 tidak akan mengurangkan kes Covid-19 walaupun jika ia dilanjutkan satu atau dua minggu lagi kerana langkah tersebut gagal mengurangkan jangkitan.

Subramaniam berkata, PKP 1.0 berkesan berikutan sekatan menyeluruh dilaksanakan ketika itu.

“Sekarang, orang ramai berada di mana-mana. Di pasar tani dan pasar malam, mereka saling bersentuhan.

“Lebih baik tamatkan PKP dan laksanakan penguatkuasaan yang ketat,” katanya kepada FMT.

Sebagai contoh, di Melbourne, pihak berkuasa mengenakan perintah sekatan pemutus (circuit breaker) selama lima hari selepas 10 kes dilaporkan.

“Hanya perintah sekatan menyeluruh berkesan kerana sekatan separuh tidak mengurangkan bilangan kes,” katanya.

Subramaniam berkata, kerajaan juga dijangka melancarkan program vaksinasi Covid-19 dalam masa terdekat dan dengan penguatkuasaan ketat ke atas semua (rakyat) dan prosedur operasi standard (SOP) yang betul, jumlah kes akan turun.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Noor bahawa kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 meningkat lagi semalam, selari dengan kes harian baharu yang mula bertambah sekali lagi.

Noor Hisham mendedahkan pagi tadi bahawa Rt seluruh Malaysia semalam ialah 0.92, iaitu naik sedikit daripada 0.91 sehari sebelumnya dan 0.88 pada 11 Feb.

Kadar Rt mengukur jumlah purata individu rentan yang akan dijangkiti oleh setiap pesakit Covid-19 baharu pada satu-satu masa.

Rt Covid-19 mesti berada di bawah 1.0 bagi membolehkan jangkitan penyakit dibendung.

Subramaniam berkata, kuarantin tiga hari ke atas menteri yang pulang daripada lawatan ke luar negara juga tidak akan berkesan kerana ia tidak disokong oleh sains, dengan menjelaskan bahawa tempoh inkubasi virus memakan masa tujuh hingga 10 hari.

Laksana perintah sekatan selepas setiap kluster dikenal pasti

Lee berkata, perintah sekatan selama dua minggu perlu dilaksanakan selepas setiap kluster dilaporkan.

Katanya, dengan cara itu jangkitan boleh diatasi tanpa mengganggu aktiviti ekonomi di seluruh negara.

“Mereka perlu melakukan ujian secara besar-besaran di kawasan (kluster) terbabit untuk menghentikan penularan.

Dr Lee Boon Chye.

“PKP, seperti yang kita boleh lihat, tidak berhasil dan kerajaan tidak dapat melaksanakan perintah sekatan menyeluruh kerana ia boleh menjejaskan ekonomi.”

Lee juga menggesa penguatkuasaan ketat dengan petuga tambahan di lapangan untuk memeriksa pengingkar dan mengenakan SOP lebih ketat.

Beliau berkata, sebagai contoh, pengusaha restoran perlu memasang penghadang plastik di antara meja untuk menyekat penyebaran virus.

“Restoran tertutup dengan penyaman udara adalah kawasan berisiko tinggi. Mereka perlu mempunyai penghadang plastik lutsinar untuk mencegah penyebaran atau membenarkan lebih banyak tempat duduk di luar premis,” katanya kepada FMT.

Lee juga menggesa kerajaan meningkatkan kesedaran dalam kalangan badan agama bagi memastikan SOP tepat dilaksanakan kerana tempat keagamaan adalah antara kawasan berisiko tinggi.

Kementerian Kesihatan (KKM) juga perlu menghentikan kuarantin pesakit Covid-19 di rumah wujud 70% kemungkinan ahli keluarga lain dijangkiti.

“Tiada siapa yang mengawasi mereka di rumah dan wujud risiko tidak membawa pesakit positif ke hospital bagi mendapatkan rawatan,” kata Lee.

Beliau berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu mengkaji semula sebab-sebab PKP 2.0 gagal dan mengambil langkah yang akan membantu mengurangkan kes Covid-19.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/14/lanjut-pkp-2-0-tidak-kurangkan-kes-covid-19-kata-pakar-perubatan/

......