POLITIKKuasai undi penjawat awam, petanda baik buat BN – penganalisis

Kuasai undi penjawat awam, petanda baik buat BN – penganalisis

Kejayaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi majoriti besar Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Sabtu lalu membuktikan kecenderungan parti berkepentingan kerajaan terus diterima rakyat.

Penganalisis keselamatan dan politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berpandangan, kejayaan itu dibuktikan lagi dengan sokongan penjawat awam khususnya pengundi dari kem tentera di Sarawak yang memberi petanda yang baik kepada Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya ke-15 (PRU-15).

“Kerjasama GPS dalam membentuk kekuatan dengan Kerajaan Persekutuan amat penting dalam kestabilan politik negara.

“GPS telah mewujudkan satu pola sokongan kolektif dalam kalangan masyarakat Sarawak yang penting untuk kemajuan pembangunan negeri dan kerjasama Kerajaan Pusat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabtu lalu, GPS menguasai 76 daripada 82 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bumi kenyalang itu yang turut disumbangkan oleh peningkatan undi tentera yang sangat ketara di beberapa DUN.

Antara DUN yang memiliki kem tentera di Sarawak ialah kem Puncak Permai di DUN Tasik Biru, kem Semenggo dan kem Ria di DUN Kota Sentosa, kem Muara Tuang dan kem Penrissen Lama di DUN Stakan dan kem Oya di Sibu.

Menurut Dr. Noor Nirwandy lagi, ia jelas mencerminkan bahawa golongan penjawat awam di negeri itu mahukan kerajaan yang stabil dan telah terbukti berjaya mencipta inovasi serta memajukan negara dalam konteks berkepentingan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Ia turut diperkuatkan lagi dengan manifesto GPS yang positif serta berkepentingan rakyat menjadikan GPS aset kepada mana-mana gabungan politik negara. – MalaysiaGazette

......