KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador menegaskan beliau tidak pernah menyebelahi atau menuding jari terhadap mana-mana pihak atau individu dalam kenyataannya berhubung situasi ketenteraman awam di negara ini.

Memperjelaskan perkara itu, Abdul Hamid menegaskan laporan media berhubung kenyataan beliau baru-baru ini yang didakwa menuding jari kepada pembangkang sebagai pihak yang bertanggungjawab mengeruhkan suasana harmoni di negara ini, tidak sekali berbunyi dan bermaksud sedemikian.

“Saya tidak langsung membuat kenyataan menyebelahi satu pihak,” katanya kepada Bernama.

Tegas Abdul Hamid, apa yang dikatakan ialah bahawasanya keadaan keselamatan negara sekarang ini tidaklah segawat mana dan masih terkawal.

“Apa yang saya lihat ialah tercetus perbalahan sesama sendiri antara parti-parti gabungan dalam kerajaan kerana masing-masing berlumba-lumba untuk menarik perhatian rakyat terhadap agenda parti masing-masing. Sementara parti-parti pembangkang pula akan terus berusaha menggugat kestabilan dan melemahkan kerajaan.

“Apa yang berlaku sekarang adalah normal apabila terjadi perubahan mengejut kerajaan,” katanya memperjelaskan kenyataan beliau sebelum ini.
Susulan salah tafsir laporan media berhubung perkara itu sebelum ini, Abdul Hamid berkata beliau telah dikritik hebat sehingga dituduh bermain politik atas isu keselamatan negara, justeru berharap pihak media berkenaan dapat membetulkan laporannya.

Abdul Hamid sebelum ini dilapor oleh sebuah akhbar tempatan telah mengeluarkan kenyataan yang menuding jari kepada pembangkang sebagai pihak bertanggungjawab mengeruhkan suasana harmoni di negara ini. – Bernama