KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak percaya faktor utama ekonomi yang secara tiba-tiba ‘U-turn’ daripada negatif pada bulan Januari dan Februari kepada positif pada bulan Mac disebabkan i-Sinar.

Bekas perdana menteri itu berkata, ini kerana i-Sinar mula dibayar pada bulan itu.

”Laporan ekonomi bagi suku 1 tahun 2021 Jabatan Perangkaan Malaysia kata ekonomi susut teruk pada bulan Januari dan Februari tapi tiba-tiba melonjak naik ke positif 6.0% pada bulan Mac.

”Walaupun KDNK masih negatif 0.5% untuk suku 1, Jabatan Perangkaan kata ekonomi tidak menjadi lebih teruk sebab pengeluaran i-lestari dan i-Sinar. Perintah Kawalan Per PKP yang longgar dan harga sawit dan getah lebih tinggi.

”Namun, i-lestari sudah lama dibayar setiap bulan, harga komoditi tetap tinggi bagi tempoh 3 bulan itu dan PKP 2.0 tetap longgar sepanjang tempoh itu,” katanya dalam posting beliau hari ini menerusi Facebook.

Secara sinis, Najib mengungkit, semasa beliau dan UMNO mendesak pengeluaran i-Sinar, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyuruh Tan Sri Muhyiddin Yassin jangan ikut nasihat ‘banduan’.

Malah, katanya, ada juga kawan-kawan yang berkata desakan beliau itu adalah tidak bertanggungjawab dan disifatkan sebagai syarat Puteri Gunung Ledang.

”Banyak artikel turut terkeluar dalam media kerajaan untuk kecam saya berhubung isu KWSP.

”Last-last laporan rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia kata pengeluaran i-Sinar telah selamatkan ekonomi Malaysia dari menjadi lagi teruk pada tempoh PKP 2.0 suku 1 tahun 2021,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Akhirnya i-Sinar juga yang selamatkan ekonomi – Najib