POLITIKKhemah Besar? Bukan hanya Dr M, Muhyiddin juga bertemu pemimpin parti lain,...

Khemah Besar? Bukan hanya Dr M, Muhyiddin juga bertemu pemimpin parti lain, kata Wan Fayhsal

Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata pertemuan antara Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini bukanlah peristiwa unik.

Ini kerana Presiden Bersatu itu turut bertemu dan berbincang dengan pemimpin parti-parti pembangkang lain, sebelum dan selepas PRN Johor bulan lepas.

Tanpa menamakan siapa ahli-ahli politik tersebut, Wan Fayhsal berkata mereka sendiri yang menghubungi Muhyiddin kerana menyedari kelebihan Perikatan Nasional di lapangan.

“Pertemuan antara Tan Sri (Muhyiddin) dan Tun (Mahathir) bukanlah peristiwa unik. Pernah ada perbincangan antara Tan Sri dengan pemimpin-pemimpin parti-parti pembangkang lain,” kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu kepada FMT.

Terdahulu, Mahathir berkata Muhyiddin menemuinya baru-baru ini untuk meminta bantuan mendapatkan semula jawatan Perdana Menteri, walaupun partinya belum membuat keputusan berhubung perkara itu.

Apabila ditanya sama ada beliau akan menyokong Muhyiddin, Mahathir berkata, Pejuang “tidak akan menyokong individu yang gagal sebagai PM sama seperti Najib (Razak)”.

Wan Fayhsal mempertikaikan dakwaan Mahathir bahawa Muhyiddin seorang Perdana Menteri yang gagal.

Sebaliknya, Malaysia dapat memasuki fasa peralihan ke endemik Covid-19 hari ini kerana usaha Muhyiddin.

Muhyiddin katanya melindungi negara ini daripada masalah yang lagi rumit dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang “tepat dan tegas”, langkah negara yang mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Hakikat bahawa kita akhirnya berjaya memasuki fasa peralihan ke endemik Covid-19 itu kerana tekad kepimpinan beliau semasa krisis Covid-19,” katanya.

“Kecekalan Tan Sri terbukti apabila beliau tidak mencampuri urusan undang-undang membabitkan ‘kluster mahkamah’. Beliau menunaikan janjinya itu kepada rakyat, dan beliau tanggung akibatnya.”

‘Kluster mahkamah’ merujuk kepada beberapa pemimpin Umno terkemuka, termasuk Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak, yang sedang atau sudah dibicarakan.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Faiz Na’aman, mempersoalkan niat Mahathir mencemuh Muhyiddin sedangkan beliau sedang berusaha membentuk suatu bentuk kerjasama dengan parti-parti lain.

Beliau memberitahu FMT isu pokoknya bukanlah siapa yang menghubungi siapa tetapi agenda bersama menghalang “kluster mahkamah” daripada kembali berkuasa pada PRU akan datang.

“Kita haruslah rendahkan ego masing-masing dan mula fikirkan tentang masa depan, bukan sahaja untuk parti masing-masing atau pemimpin tertentu, tetapi masa depan negara dan seluruh rakyat,” katanya.

Faiz mempertahankan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri berusaha sebaik mungkin untuk menjaga ekonomi dan kesihatan ketika wabak memuncak dan kemerosotan ekonomi.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/04/01/bukan-hanya-dr-m-muhyiddin-juga-bertemu-pemimpin-parti-lain-kata-wan-fayhsal/

 

......