MELODI merupakan satu program hiburan yang memaparkan gosip berkaitan artis yang popular disiarkan oleh TV3.

Program hiburan berkenaan mendapat sambutan penonton kerana sering membawa gosip-gosip hangat artis dan diolah dengan penuh dramatik.

Bagaimanapun pagi ini Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya tampil bagaikan pengacara program hiburan tersebut dengan penuh sensasi mendedahkan rakaman perbualan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansur.

Sebagai individu yang mengetuai sebuah badan penguat kuasa di negara ini, beliau tidak sepatutnya mengejar sensasi seperti pengacara program hiburan dan sebaliknya perlu menjalankan siasatan dan jika tidak menjalankan siasatan perlu diserahkan kepada polis ia perlu dibuat mengikut lunas undang-undang.

Jika alasan kepentingan negara digunakan ia adalah sangat penting perkara itu diurus dengan baik dan bukan disensasikan.

Tindakan mensensasikan sesuatu isu dan kes hanya akan menyukarkan proses siasatan pada masa hadapan dan ini terbukti apabila membabitkan kes terbunuhnya anggota bomba dalam rusuhan di sebuah kuil tempoh hari.

Turut didedahkan ialah perbualan Najib dengan pelbagai pemimpin yang menyentuh pelbagai isu termasuk SPRM dan kes yang sedang dihadapi oleh Najib di mahkamah pada masa ini.

Pendedahan itu dikatakan dibuat khusus untuk media hinggakan perdana menteri sendiri tidak dimaklumkan semata-mata untuk kepentingan masyarakat.

Tindakan itu telah menimbulkan pelbagai reaksi oleh para pemimpin khususnya di pihak pembangkang dan Najib sendiri.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menyifatkan sidang akhbar itu bagaikan program hiburan sensasi Melodi.

Manakala Najib pula berkata, tidak ada masalah perbualan suami isteri walaupun menyentuh apa juga isu asalkan tidak didedahkan kepada umum.

Najib juga menafikan dia dimarahi oleh Rosmah sebagaimana didengari daripada perbualan yang dirakam secara curi itu. Justeru Najib mempertikaikan siapa yang memberi kebenaran perbualan perdana menteri dirakam secara curi.

Menurut Najib, jika perkara itu dibenarkan, maka selepas ini semua rakaman perdana menteri boleh dirakam oleh pihak berkuasa tanpa kebenaran pihak bertanggungjawab.

Bagi Lokman pula adalah wajar bagi seorang ibu yang agak emosi apabila berbincang berhubung isu yang membabitkan anak mereka.

Peguam Najib, Tan Sri Shafee Abdullah akan melihat aspek subjudis dan menghina mahkamah kerana ia turut menyentuh kes yang masih dibicarakan.

Ramai juga menganggap pendedahan itu lebih bermotifkan politik berikutan ketika ini sedang berlangsung kempen Pilihan Raya Kecil Kimanis di Sabah.

Najib juga hairan setiap kali ada pilihan raya kecil akan ada kes-kes baharu dibangkitkan seperti yang dilalui sebelum ini.

Shafee juga menyifatkan Latheefa belum dapat menyesuaikan diri sebagai ketua SPRM dan masih membawa gaya seorang ahli politik telah sebati dengan dirinya dan sehubungan itu Shafee berharap Latheefa meletakkan jawatan dan kembali aktif berpolitik.