DUNIAKes covid melonjak 300% di AS, kerana ramai lagi belum divaksin, kebanyakan...

Kes covid melonjak 300% di AS, kerana ramai lagi belum divaksin, kebanyakan pesakit tidak divaksin

MIAMI, Florida – Purata jumlah kes harian baharu Covid-19 di Amerika Syarikat(AS) melonjak lebih 300 peratus sejak tiga minggu lalu dengan negeri-negeri titik panas termasuk Florida dan Louisiana menyaksikan peningkatan mendadak kemasukan ke hospital, lapor akhbar New York Post kelmarin.

AS mencatat purata kenaikan kes harian kepada 79,951 kes Ahad lalu yang merupakan pe­ningkatan 312 peratus berban­ding purata 19,400 kes tiga ming­gu lalu, demikian menurut data Universiti Johns Hopkins.

Sebilangan besar jangkitan baharu itu berlaku dalam kala­ngan penduduk tidak divaksin dan hanya segelintir kes membabitkan mereka yang sudah me­nerima pelalian lengkap.

Bagaimanapun, penyelidikan mendapati kebanyakan individu yang telah menerima pelalian hanya mengalami gejala ringan atau tanpa simptom sama sekali.

Pegawai-pegawai AS juga me­rayu kepada orang ramai agar segera mendapatkan suntikan vaksin dengan penasihat kanan kesihatan, Dr. Anthony Fauci memberi amaran pada Ahad lalu bahawa bilangan rakyat yang menerima pelalian masih tidak mencukupi bagi mengekang wabak Covid-19 ketika ini.

ORANG ramai mendaftar untuk suntikan vaksin di sebuah farmasi bergerak di Brooklyn, New York pada 30 Julai lalu. – AFP

Dalam perkembangan ber­kaitan, khemah-khemah ra­watan didirikan untuk merawat pesakit ketika jumlah jangkitan Covid-19 meningkat di Daerah Brevard, Florida.

Fauci berkata, rakyat AS yang tidak divaksinasi membentuk sebahagian besar jangkitan baharu. Beliau juga menyalahkan mereka kerana menjadi punca AS gagal kembali kepada situasi ‘normal’.

Beliau berkata demikian beberapa hari selepas Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengesyorkan penduduk yang sudah divaksin kembali memakai pelitup muka di kawasan wabak varian Delta.

Florida yang bergelut dengan bilangan tertinggi kes baharu Covid-19 kini mencatatkan angka kemasukan ke hospital terbesar di AS.

Barat daya negeri Missouri pula menyaksikan lonjakan kes varian Delta dengan hospital-hospital hampir lumpuh, manakala pihak berkuasa terpaksa meminta bantuan untuk kakitangan tambahan dan tempat rawatan alternatif.

Negeri Louisiana yang memiliki antara kadar vaksinasi terendah di AS juga bergelut dengan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19.

Gabenor Louisiana, John Bel Edwards melaksanakan semula arahan pemakaian pelitup muka di semua lokasi tertutup terma­suk sekolah dan kolej kelmarin, kurang tiga bulan setelah beliau memansuhkan peraturan ter­sebut.

Setakat ini, sebanyak 58 peratus rakyat AS berumur 12 tahun ke atas telah menerima pelalian lengkap, demikian menurut data daripada CDC. – Agensi

......