Universiti Malaya (UM) berkata pihaknya tidak akan menahan skrol dan transkrip akademik atau menarik balik ijazah graduan yang mengadakan protes dengan membawa plakad mengecam naib canselornya semasa istiadat konvokesyen Isnin lalu.

Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Tengku Mohd Azzman Shariffadeen Tengku Ibrahim berkata, pengedaran skrol dan transkrip akademik secara berpusat dilakukan mulai 12 hingga 20 Okt.

“Graduan terbabit telah pun dimaklumkan bahawa transkrip akademiknya boleh diambil pada bila-bila masa bermula 18 Okt.

“Graduan juga boleh mengakses dan mencetak skrol atas talian melalui sistem graduand.um.edu.my mulai 21 Okt,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata UM menghormati hak dan prinsip kebebasan bersuara setiap individu yang bernaung di bawah pusat pengajian tinggi itu.

Katanya, setiap warga universiti termasuk para mahasiswa diberikan kesempatan dan ruang yang luas untuk menyuarakan pendapat dan pandangan dalam apa jua aspek.

“Atas dasar itu juga, UM sentiasa dilihat sebagai antara universiti yang amat liberal di negara ini.”

Bagaimanpun kata beliau, dalam melaksanakan kebebasan itu, hak orang lain juga perlu dihormati.

“Berhubung insiden graduan Fakulti Kejuruteraan yang menunjukkan bantahan di atas pentas semasa istiadat konvokesyen pada 14 Okt lalu, kami berpandangan bahawa perbuatan tersebut telah tidak menghormati istiadat dan mencemarkan majlis.

“Tindakan beliau juga tidak menghormati graduan yang diraikan serta ibu bapa dan para tetamu yang hadir,” katanya.

Beliau berkata, lembaga pengarah UM amat kesal dengan kejadian yang berlaku dan memohon maaf kepada para graduan, ibu bapa dan tetamu jemputan atas gangguan kepada majlis.

Beberapa pihak menggesa UM menarik balik laporan polis terhadap graduan terbabit Wong Yan Ke dan tidak menahan ijazahnya

Ini termasuklah veteran DAP, Lim Kit Siang berkata Naib Canselor UM, Abdul Rahim Hashim sewjarnya menangani isu dibangkitkan pelajar, dan bukannya menyasarkan aktivis pelajar atas protes mereka mereka dengan membuat laporan polis.

UM membuat laporan polis terhadap Wong Yan Ke, mendakwa dia telah menunjukkan rasa tidak hormat semasa majlis konvokesyen dan mengganggu protokol istiadat. Polis sedang menyiasat pelajar itu di bawah Kanun Keseksaan berhubung kesalahan menghina dan menggugat ketenteraman awam.

Kongres Maruah Melayu

Wong memberitahu FMT bantahannya terhadap Rahim diadakan kerana nama universiti itu telah digunakan untuk tujuan perkauman dan politik. UM merupakan salah satu daripada empat universiti menganjurkan Kongres Maruah Melayu.

Beliau berkata kenyataan Rahim pada majlis itu telah menyebabkan ahli akademik dan pelajar lain mempersoalkan kesahihan akademik yang Rahim telah buat dalam program tersebut.

Azzman Shariffadeen berkata, UM sentiasa mengangkat penyebaran ilmu dan wacana ilmiah sebagai agenda lazimnya dan atas dasar itu jugalah, Kongres Maruah Melayu dianjurkan oleh Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu (PKMM) pada 6 Okt lalu iaitu sebagai sebuah wacana akademik bagi mengenal pasti, membincang dan mencadangkan resolusi kepada pelbagai cabaran yang dihadapi oleh orang Melayu hari ini dari aspek politik, ekonomi, pendidikan, budaya dan agama.

“Usaha ini adalah sejajar dengan objektif penubuhan PKMM,” katanya.

Pun begitu kata Azzman Shariffadeen, sejajar dengan matlamat universiti serta prinsip-prinsip yang didukung, pihak pengurusan UM akan lebih berhati-hati dan melaksanakan ketelitian wajar yang lebih ketat dan dinamik agar program yang disertai mempertimbangkan semua aspek kepentingan negara.

“Ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa sebagai universiti terbaik dan terulung negara, UM menjunjung tinggi keintelektualan dan kebebasan akademik serta akan sentiasa bersifat neutral, tidak berpihak dan mengutamakan kepentingan negara.”