Foto - The Straits Times

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dikritik lagi ekoran kenyataan beliau terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menyifatkan kenyataan sebagai satu perkara yang jelik kerana membongkar banyak perkara antara beliau dengan Anwar dalam pertemuannya mereka.

“Ini merupakan satu sifat jelik yang mana isi butiran sesuatu perbincangan dengan Presiden adalah satu amanah yang perlu dijaga dan tidak sewajarnya didedahkan kepada khalayak umum melainkan beliau mempunyai agenda tertentu terhadap Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Pada malam Ahad lalu, Zuraida dalam ucapan sempena Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 turut mendedahkan mengenai perbualannya bersama Anwar dalam satu pertemuan beberapa bulan lalu.

Perbualannya dengan Anwar, menurut Ahli Parlimen Ampang itu, adalah untuk meyakinkannya bahawa pelaku dalam sebuah video seks yang tular ketika itu, ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Malah beliau turut berkata Zuraida turut menyatakan bahawa Anwar turut memetik nama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk yang mengarahkan Anwar memecat Mohamed Azmin.

Justeru itu, Shamsul menggesa agar Zuraida dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin Parti PKR.

“Perkara-perkara yang telah dilakukan oleh beliau ini jelas melanggar etika dan disiplin parti serta tidak boleh diterima sekali apatah lagi ia dilakukan oleh seorang pemimpin kanan parti yang seharusnya menjadi contoh dan suri tauladan kepada anggota parti yang lain,” cadangnya.- MalaysiaGazette