Tindakan beberapa anggota parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang saling berbalas mengeluarkan kenyataan media secara semberono dan tidak mengikut saluran yang betul amat mendukacitakan kerana berisiko untuk memecah-belahkan kesatuan ini.

Sewajarnya, setiap ahli dan pimpinan parti komponen memahami bahawa setiap kenyataan begitu mudah dimanipulasi untuk merosakkan imej PH dan seterusnya menjejaskan sokongan rakyat.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, setiap pihak dalam PH perlu menumpukan perhatian kepada pemulihan negara berbanding melayan polemik politik murahan yang dilancarkan oleh pihak tertentu dengan tujuan untuk memecah-belahkan kekuatan gabungan ini.

Menurutnya, kejayaan PH menarik sokongan rakyat dan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) pada 9 Mei lalu adalah disebabkan kesepakatan yang kukuh dalam kalangan parti komponen seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amanah dan DAP.

Malah, kesatuan yang kukuh ini pula dibantu dengan kewibawaan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dianggotai oleh para pimpinan yang berpengalaman dalam membuat sebarang keputusan dan tindakan secara kolektif melalui
saluran demokratik.

Justeru, Amanah beranggapan bahawa kekuatan PH melalui keputusan dan tindakan bersama ini perlu dikekalkan dalam usaha untuk memastikan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mampu mengharungi cabaran dan masalah yang ditinggalkan oleh pentadbiran lama. – MalaysiaGazette